fbpx
PENGAMBILAN beras putih secara berlebihan didapati merisikokan kesihatan manusia. – Getty/iStockphoto

Saintis Iran dakwa nasi putih tingkat risiko sakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN – Satu kajian baharu mendedahkan bahawa amalan pemakanan bijirin proses atau halus mengundang risiko kepada kesihatan manusia, sama seperti memakan gula-gula secara berlebihan, lapor akhbar New York Post semalam.

Laporan penyelidikan itu berdasarkan tabiat pemakanan dan sejarah kesihatan sebilangan penduduk di Iran.

Kajian mendapati risiko untuk seseorang individu mendapat penyakit arteri koronari pramatang (PCAD) akibat memakan nasi putih adalah sama seperti pengambilan gula dan minyak tidak sihat yang terkandung dalam makanan manis.

Kajian tersebut memberi tumpuan kepada sekumpulan 2,500 responden yang mempunyai arteri normal dan PCAD. 

Setiap peserta diminta menjawab soal selidik mengenai kekerapan makanan untuk menentukan kadar pengambilan bijirin penuh dan halus.

Penyelidik mendapati pengambilan bijirin halus dengan lebih tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko PCAD, manakala amalan memakan bijirin penuh membantu mengurangkan risiko penyakit itu.

Bijirin yang ‘dihaluskan’ untuk dijadikan tepung atau hidangan lain memberikan tekstur yang lebih halus dan tempoh ketahanan lebih lama tetapi proses tersebut menyebabkan nutrien utama hilang.

Bagaimanapun, bijirin penuh seperti oat, beras perang dan roti gandum mengandungi keseluruhan khasiat bijirin.

“Diet pemakanan yang mengambil bijirin tidak sihat dan halus secara berlebihan dianggap sama seperti mengamalkan diet yang mengandungi banyak gula,” kata pengarang utama kajian, Dr. Mohammad Amin Khajavi Gaskarei.

Bijirin halus diproses dengan cepat oleh badan kerana kekurangan serat dan membawa kepada lonjakan paras gula dalam darah, demikian menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Lama kelamaan, kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh merosakkan saluran darah dan saraf yang mengawal jantung selain menyebabkan plak terbentuk pada dinding arteri. – Agensi

POPULAR