fbpx

Liga Super: JDT tetap ampuh beraksi dengan 10 pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain KDA FC, Rodney Celvin Akwensivie cuba mengasak pemain JDT, Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini. - FOTO SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Beraksi dengan kelebihan seorang pemain sepanjang 45 minit babak kedua perlawanan tidak mampu membantu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk menewaskan juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 3-1 di laman sendiri, malam ini.

Pada perlawanan yang disaksikan hampir 15,000 penonton itu, KDA FC terlebih dahulu mengejutkan jagoan selatan apabila Ronald Ngah Wanja menampilkan kelincahan dengan melakukan gerakan solo dari tengah padang, sebelum melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti untuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-12.

JDT selaku pasukan dipenuhi bintang bagaimanapun jelas tidak patah semangat dengan mereka hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi Leandro Velazquez, namun rembatan pemain tengah dari Argentina itu terkena badan ‘kereta kebal’ KDA FC, Rodney Celvin walaupun penjaga gol tuan rumah, Mohd. Shahril Saari sudah pun tertewas.

Pada minit ke-30, KDA FC hampir menambah jaringan, namun rembatan volley pemain import dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi dari dalam kotak penalti tersasar ke kiri gawang lawan.

JDT akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 apabila sungkitan pemain tengah mereka, Mohd. Afiq Fazail berjaya sampai kepada bintang import dari Brazil, Bergson Da Silva untuk dia mudah membuat tolakan menggunakan kaki kanan menewaskan Mohd. Shahril.

Dua minit berselang, Bergson hampir sekali lagi melakukan jaringan menerusi kaedah yang sama namun sepakannya kali ini tersasar meskipun cuma berdepan satu sama satu dengan Mohd. Shahril.

Pada minit terakhir babak pertama, JDT kehilangan seorang pemain apabila Bergson dilayangkan kad merah oleh pengadil, Hamdan Awang kerana menyiku Rodney.

Kekurangan seorang pemain bagaimanapun seakan tidak memberi kesan kepada JDT apabila mereka terus memulakan asakan sebaik pengadil memulakan babak kedua.

Rembatan Arif Aiman Mohd. Hanapi pada minit ke-48 dari luar kotak penalti sedikit melepasi palang manakala sepakan percuma Leandro tiga minit kemudian, berjaya ditepis Mohd Shahril yang melayangkan badan ke kanan gawang.

Usaha keras JDT akhirnya membuahkan hasil apabila mereka memperoleh sepakan penalti pada minit ke-59 setelah penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad dijatuhkan pemain pertahanan KDA FC, Azmeer Aris.

Leandro yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan penalti itu kemudian melepaskan rembatan padu ke kiri gawang lawan untuk JDT mendahului 2-1.

Dua minit kemudian, kelekaan Muhamad Azmeer sekali lagi mengundang padah apabila Syafiq terlepas dari kawalannya dan hanya berdepan satu sama satu dengan Mohd. Shahril. Begitu pun rembatan Syafiq kali ini berjaya ditepis Mohd. Shahril yang sudah pun bersedia menutup sudut kiri gawang.

Percubaan pertama KDA FC pada babak kedua hanya hadir pada minit ke-66 apabila Ronald menerima hantaran lambung dari Fayadh Zulkifli namun tandukannya sedikit tersasar ke kiri pintu gol pelawat.

Pada minit ke-78 benteng pertahanan KDA FC hanya perlu menyalahkan diri sendiri apabila salah seorang pemain pertahanan mereka membuat kesilapan dengan melakukan hantaran yang tidak sampai kepada rakan dalam kotak penalti.

Bola itu kemudiannya dirampas Arif Aiman yang membuat tolakan kepada Afiq bagi disempurnakan dengan rembatan deras untuk gol ketiga JDT. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI