fbpx

Lebih 10 peratus kanak-kanak Orang Asli tercicir pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir Khalid bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) di Cyberview Spa & Resort, Cyberjaya hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

CYBERJAYA- Lebih 10 peratus kanak-kanak Orang Asli di Semenanjung Malaysia mengalami keciciran pendidikan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut beliau, antara faktor yang mempengaruhi masalah tersebut termasuklah isu pengangkutan, tidak mengambil berat tentang pendidikan dan masalah keluarga.

“Mereka minta lihat bagaimana hendak kurangkan lagi keciciran di sekolah. Sekarang kehadiran lebih 80 peratus di sekolah kebangsaan jadi baki tersebut macam mana kita nak tingkatkan sehingga melebihi 90 peratus pencapaian kehadiran ke sekolah.

“Banyak pandangan yang diberi tadi (dalam mesyuarat) seperti pengangkutan dan asrama penuh untuk anak Orang Asli,” katanya pada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) Bil. 1 Tahun 2022 di sini hari ini.

MaPOA merupakan platform masyarakat Orang Asli untuk memberi pandangan dan maklum balas berkaitan dasar serta ruang untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit di peringkat nasional dan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, antara isu lain yang turut dibentangkan adalah berkaitan faktor-faktor yang mempengaruhi status kesihatan masyarakat Orang Asli.

“Berkaitan dengan kesihatan, mereka minta kerajaan untuk memperbanyakkan lagi pusat rawatan berpusat di pos-pos Orang Asli bagi memudahkan urusan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Kalau Kementerian Kesihatan (KKM) datang boleh datang ke pusat berkenaan dan masyarakat di situ boleh berkumpul (untuk terima rawatan).

“Mereka juga minta perjawatan di KKM seperti penolong pegawai perubatan (MA) yang disandang oleh Orang Asli di kawasan lain untuk dikembalikan ke perkampungan mereka,” ujarnya.

Katanya lagi, mesyuarat tersebut juga membincangkan mengenai pewartaan tanah Orang Asli membabitkan sebanyak 100324.78 ekar tanah (40,600 hektar) melibatkan 215 kampung sehingga Disember 2021.

“Pewartaan tanah ini adalah melalui peruntukan undang-undang Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang melibatkan penempatan kediaman, ladang atau dusun buah-buahan.

“Terdapat 638 kampung Orang Asli dalam proses pewartaan oleh kerajaan negeri iaitu ada daripadanya dalam peringkat permohonan, kerja ukur dan menunggu ulasan,” katanya.

Tambah beliau, segala input yang dibentangkan menerusi MaPOA akan dibincangkan di peringkat kementerian sebelum ia diperincikan untuk di bawa ke Kabinet. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI