fbpx

Bajet 2023: Penternak, petani mahu bantuan bersasar RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. NOR ZAMZURI menyiapkan polibeg untuk tanaman sayur-sayuran di Taman Agropolitan, Rantau Manis, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Rata-rata penternak dan petani di daerah ini berharap kerajaan dapat meneruskan bantuan secara bersasar berjumlah RM300 hingga RM500 yang diterima semasa musim pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Bantuan itu perlu berikutan kenaikan kos input tanaman se­perti baja, racun, peralatan pertanian dan dedak ternakan menyebabkan golongan petani dan penternak terbeban ketika ini.

Seorang petani sayur-sa­yuran, Mohd. Nor Zamzuri Mohd. Ramli, 56, berkata, sejak pandemik Co­vid-19 melanda, mereka berdepan masalah kekurangan pendapatan kerana bergelut untuk memasarkan hasil pertanian serta harga yang tidak menentu.

Katanya, masalah semakin rumit apabila mereka terkesan berikutan kenaikan berterusan harga peralatan pertanian sekali gus menyebabkan kerugian.

“Selain racun, harga baja dan peralatan tanaman turut me­nunjukkan peningkatan. Oleh itu, saya berharap kerajaan meneruskan bantuan secara bersasar kepada golongan petani.

“Hasil keuntungan yang kami peroleh berkurangan dan ada yang terpaksa menanggung kerugian atau hanya sekadar balik modal,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Taman Agropolitan Rantau Manis di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi petani, Mohd. Faisal Mohd. Fadhil, 38, berkata, sejak ke­belakangan ini dia terpaksa ber­belanja lebih RM1,000 sebulan bagi membeli racun rumpai, baja dan peralatan pertanian.

Katanya, harga yang semakin meningkat membebankan petani yang perlu menggunakan input pertanian tersebut.

“Saya harap kerajaan dapat membantu para petani dengan memberi bantuan modal atau bantuan tunai untuk kami meneruskan aktiviti pertanian fertigasi ini,” katanya.

Seorang penternak ayam kampung, Ahmad Kamizi Jalil, 55, pula berkata, golongan penternak juga semakin terhimpit berikutan harga dedak makanan ternakan meningkat sejak tahun lalu.

Katanya, harga dedak yang diperolehnya lebih RM3 sekilogram ketika ini.

“Kami berharap kerajaan membantu dengan memberi bantuan kewangan atau mengawal harga dedak makanan yang semakin meningkat.

“Harga makanan ternakan yang semakin meningkat menyebabkan kami terpaksa menanggung peningkatan kos. Selain itu, ada antara kami juga terpaksa mengurangkan bilangan ternakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI