fbpx

PH sudah selesai bahagi kerusi – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi ketika mengadakan sesi townhall di Auditorium A, Komtar, George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) telah menyelesaikan soal pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara tersebut akan dibawa ke Majlis Presiden PH yang akan bermesyuarat pada Rabu ini.

“Sehingga kini, semua negeri sudah selesai kecuali Kedah dan Sabah, namun dijangka akan dapat diselesaikan sebelum Rabu.

“Keputusan rundingan akan dibawa ke Majlis Presiden pada Rabu ini. Kita yakin akan dapat selesaikan menjelang Rabu ini, maka saya boleh katakan rundingan untuk kerusi Parlimen telah selesai,” katanya selepas mengadakan sesi townhall di Auditorium A, Komtar di sini hari ini.

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, parti komponen PH juga akan mendapat lebihan kerusi untuk ditandingi pada PRU-15 memandangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi bersama PH.

“Semua parti akan dapat lebih kerusi sebab Bersatu dahulunya bertanding 52 kerusi. Jadi kerusi Bersatu ini akan ditandingi oleh DAP, PKR dan Amanah mengikut kesesuaian setiap kerusi itu. Oleh itu, memang semua parti akan dapat kerusi lebih,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau mahu bertanding di kerusi Parlimen Pandan pada PRU-15 dan perkara itu sudah disuarakan kepada pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun menurutnya, soal calon yang bertanding pada PRU-15 nanti belum dimuktamadkan oleh pimpinan parti.

“Besar kemungkinan saya akan bertanding di (Parlimen) Pandan.

“Oleh kerana saya perlu berkempen di seluruh Malaysia, jadi memang lebih logik saya bertanding di Pandan kerana itu ‘based’ saya dan itu bagi saya ruang berkempen di banyak kerusi di seluruh Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang kini menjadi penyandang kerusi Parlimen Pandan akan menjadi senjata rahsia bagi PKR dalam pilihan raya nanti.

”Perbincangan dalaman sama ada Wan Azizah main peranan dan bentuk peranan yang akan dimainkan, semua itu kita kena bincang secara dalaman dengan tuan punya diri dahulu.

“Cuma kita ada kelebihan kerana Wan Azizah sangat ‘versatile’ dan dia sudah pun buktikan. Itu adalah senjata rahsia kita,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI