fbpx
MODEL V60 Recharge T8 tampak ‘kacak’ dari pandangan depan, sisi dan belakang.

Wagon hibrid Volvo lawa, serba boleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

VOLVO Car Malaysia telah ditubuhkan secara rasmi di negara ini pada tahun 1999. Bermula dari itu, syarikat berkenaan telah berkembang menjadi lebih maju dan mempunyai pengedar di seluruh negara.

Populariti dan permintaan kenderaan jenama Volvo juga telah memacu penubuhan kilang Volvo Car Manufacturing Malaysia pada tahun 1967 dan sehingga kini merupakan kilang pemasangan kenderaan paling tua di Malaysia.

Pada tahun 2016, kilang itu telah menjadi pemasang pertama bagi pemasangan tempatan untuk model XC90 PHEV di luar Sweden.

Pada awal tahun ini, Volvo Car Malaysia telah memperkenalkan model V60 Recharge T8 yang merupakan sebuah kereta jenis wagon atau estate. Untuk pasaran Malaysia, ia merupakan varian paling berkuasa dengan ciri-ciri plug-in hybrid (PHEV).

Baru-baru ini, penulis telah memandu uji unit wagon berkuasa ini. Dari segi rupa, penulis tidak boleh nafikan memang ‘kacak’ depan, sisi dan belakang. Pendek kata, sempurna.

Penggunaan rim bersaiz 19 inci dan tayar 235/40 juga nampak serasi dengan rekaan kereta wagon yang agak panjang ini.

Model tersebut menggunakan enjin petrol Drive-E V60 Recharge T8 dilengkapi pengecas turbo dan pengecas super yang menghasilkan output 320hp dan 400Nm tork, manakala gabungan motor elektrik pula menghasilkan output maksimum 407hp dan 640Nm tork.

MODEL wagon mempunyai reka bentuk yang agak panjang.

Ciri-ciri PHEV serba boleh ini juga mengeluarkan pelepasan karbon dioksida yang sangat rendah apabila dalam mod tulen (Pure) dan boleh bergerak sejauh 49 kilometer (km) dengan sekali cas penuh.

Selain mod Pure, mod lain yang ditawarkannya adalah seperti Hybrid, Power dan Constant AWD.

Dari segi pemanduan tidak banyak berbeza dengan model sedannya S60, kerana dari segi karakter, kenderaan tidak banyak berbeza.

Kadar pecutan dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 4.6 saat. Walaupun cukup berkuasa, model ini tidak terkecuali dengan had kelajuan 180 km/j kerana Volvo mengutamakan keselamatan.

Sistem suspensi sedia ada sudah memberikan keselesaan yang sepatutnya untuk sebuah kereta bertaraf premium.

Ciri-ciri menarik semasa memandu kereta ini ialah sistem Pilot Assist dengan bantuan pemanduan separa automatik. Bagi penulis, Pilot Assist sangat membantu terutama ketika jalan sesak.

Pemandu hanya perlu pegang stereng sebagai tanda ‘jangan terlalu leka’ kerana jika dilepaskan sistem ini akan memberi amaran. Komputer akan mengawal kelajuan, manakala brek di samping stereng menggunakan garisan lorong sebagai panduan.

Ruangan dalam kenderaan ini yang tampak elegan dan sesuai digunakan oleh individu berkeluarga.

Bercerita mengenai model wagon, wajib rasanya menyentuh ciri-ciri praktikaliti yang ditawarkan iaitu ruang simpanan bersaiz 529 liter. Tidak cukup?

Rebahkan tempat duduk penumpang belakang kerana kerusi itu boleh dilipat 60:40 dan luasnya menjadi 1,441 liter.

Model dengan pemasangan tempatan (CKD) ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans, RM305,888. Volvo Car Malaysia menawarkan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan dengan waranti untuk bateri hibrid selama lapan tahun atau 160,000 km atau yang mana sampai dulu.

Kesimpulannya, di Malaysia tidak banyak jenama yang berani untuk membawa masuk model-model wagon mungkin disebabkan permintaan yang kurang jika dibandingkan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

UNTUK mendapatkan ruang simpanan yang paling luas, pengguna boleh merebahkan tempat duduk belakang.

Model wagon keluaran Volvo ini juga bukan sembarangan kerana kuasa yang ditawarkan jauh lebih tinggi daripada kebanyakan hot hatch dalam lingkungan harganya di negara ini.

Volvo V60 Recharge T8 ini mungkin antara model terakhir yang menggunakan enjin petrol kerana Volvo kini dalam fasa beralih kepada kenderaan elektrik (EV).

Pada pandangan penulis , jika anda sudah berkeluarga tetapi inginkan sebuah kereta dengan ruang simpanan bersaiz besar model ini mungkin patut ada dalam senarai pilihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN