fbpx

Terima kasih untuk segalanya Roger Federer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FEDERER diraikan oleh rakan-rakan seperjuangannya dalam tenis selepas aksi Piala Laver di Arena O2, London awal pagi Ahad lalu. - AFP

MENJADI atlet atau ahli sukan, anda biasanya akan dikenang menerusi pencapaian yang diperoleh sepanjang karier, itupun sekiranya ia adalah luar biasa.

Namun, definisi itu mungkin tidak terpakai untuk legenda tenis dunia, Roger Federer apabila personanya di dalam dan luar gelanggang yang terlalu dominan menyebabkan kita mungkin terlupa masih ada pemain yang berjaya mengatasi legasi yang ditinggalkannya.

Kira-kira 15 hari lalu, pemain tenis sensasi Switzerland itu membuat pengumuman mengejutkan apabila bakal meninggalkan sukan tenis selepas memulakan karier profesional pada 1998.

Pada usia 41 tahun, masalah kecederaan lutut benar-benar mengehadkan aksinya di gelanggang dan selepas tiga pembedahan dilalui sejak 2020, Federer mengakui enggan memperjudikan tahap kesihatannya pada masa depan dengan melalui siri pembedahan selepas ini.

Aksi Piala Laver yang berlangsung di Arena O2 di London pada awal pagi Ahad lalu menjadi kelibat terakhir pemain yang dilahirkan pada 8 Ogos 1981 itu yang membuat penampilan menerusi acara beregu bersama, Rafael Nadal yang mewakili Pasukan Eropah.

Selepas pengumuman persaraan itu dibuat, harga tiket perlawanan tiba-tiba menjadi ‘gila’ apabila asalnya dijual sekitar £40 (RM197.90 hingga £510 (RM2,523) melambung sehingga dilaporkan dijual pada harga £55,000 (RM272,000) di ‘pasaran gelap’.

Sekiranya laporan itu adalah betul, maka benarlah bahawa aura Federer dalam sukan tenis sangat luar biasa walaupun ketika ini Nadal dan Djokovic berjaya mengatasi pencapaiannya dalam Grand Slam.

Pemain yang berasal dari Basel, Switzerland itu menamatkan kariernya dengan meraih 20 gelaran Grand Slam berbanding Djokovic meraih 21 gelaran, manakala Nadal sudah memiliki koleksi 22 gelaran tersebut.

Sepanjang kariernya selain Grand Slam, Federer berjaya meraih 28 gelaran dalam Masters 1000, enam kali Kejuaraan Final ATP, 103 gelaran ATP selain berada di puncak ranking dunia sebagai pemain No. 1 dunia untuk tempoh 310 minggu.

Sejujurnya, sebelum kemunculan Federer, Pete Sampras dianggap sebagai pemain yang sangat disenangi oleh peminat kerana kehebatan di gelanggang selain wataknya yang tenang dan merendah diri, malah selepas persaraannya pada 2003, penulis menjangkakan peminat perlu menunggu tempoh yang lama untuk hadir pemain seperti itu lagi.

Bagaimanapun, Federer tidak mengambil masa yang lama untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan tersebut dan bukanlah suatu yang janggal jika anda tidak ingat bilakah dia menghamburkan kemarahannya ketika di gelanggang.

Federer tidak muncul di gelanggang untuk mencipta musuh dalam perjalanan kariernya, tetapi dia memberikan lebih daripada itu, maka tidak hairanlah kalau musuh utamanya, Nadal memilih untuk menangisi keputusan itu berbanding berasa seronok.

Nadal menganggap persaraan Federer umpama sebahagian daripada hidupnya telah hilang, selain mengakui sahabatnya itu adalah pendorong utama untuk dia menjadi pemain yang hebat.

Sepanjang tempoh 24 tahun karier, Federer bukan sahaja memberikan kita nilai keunggulan sukan tenis, namun sifat kemanusiaan dimiliki menjadikan dia cukup istimewa. Terima kasih untuk segalanya Encik Roger.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI