fbpx

Prayut Chan-o-cha berdepan tuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Prayut menyampaikan ucapan ketika Persidangan Antarabangsa ke-17 mengenai Masa Depan Asia di Tokyo pada 26 Mei 2022. – AFP

BANGKOK – Barisan parti pembangkang di Thailand memfailkan petisyen terhadap Perdana Menteri yang digantung tugas, Prayut Chan-o-cha serta dua menteri kabinet berhubung dakwaan rasuah dalam dua projek di bawah Kementerian Perdagangan serta Kementerian Pengajian Tinggi Sains Penyelidikan dan Inovasi (MHESRI).

Menurut akhbar Bangkok Post kelmarin, petisyen yang dihantar kepada Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan (NACC) itu diketuai oleh Setiausaha Agung parti Pheu Thai, Prasert Chantararuangtong.

Satu daripada petisyen itu adalah bagi menentang Prayut dan Menteri MHESRI, Anek Laothamatas, manakala satu lagi adalah menentang Prayut serta Menteri Perdagangan, Jurin Laksanawisit.

Petisyen-petisyen tersebut dibuat sebagai susulan kepada tuduhan yang dibangkitkan oleh parti-parti pembangkang dalam sesi perbahasan yang menerima kecaman hebat sebelum ini.

Menerusi petisyen pertama, parti pembangkang meminta NACC agar menyiasat Prayut dan Anek berhubung perbelanjaan dana berjumlah hampir 400 juta baht (RM48.77 juta) oleh MHESRI.

Bajet tersebut diluluskan untuk beberapa projek latihan yang tidak mendesak dan tidak memenuhi terma-terma rujukan seperti yang dinyatakan dalam projek.

Turut dituduh terlibat dalam skandal itu adalah tiga eksekutif dari Universiti Teknologi Rajamangala Isan dan dua ahli politik lain.

Sementara itu, dalam satu lagi petisyen pula, Prayut dan Jurin dituduh mengabaikan pemantauan mereka terhadap pemerolehan sarung tangan getah ketika kemuncak pandemik Covid-19.

Parti pembangkang turut mendakwa Prayut serta Jurin gagal membekukan sejumlah 2 bilion baht (RM243.7 juta) wang bajet yang diselewengkan serta diubah.

Prasert berkata, parti-parti pembangkang kini sedang mengumpul bahan bukti bagi membuktikan rasuah berkaitan Prayut dan menteri-menteri berkenaan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI