fbpx
Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menunjukkan senapang patah buatan sendiri bersama 14 butir peluru hidup yang dirampas semasa serbuan di sebuah bangsal di ladang kelapa sawit di Felda Chiku, Gua Musang kelmarin. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Lima pemburu haram kijang dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Lima lelaki termasuk seorang warga Thailand dicekup selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memburu secara haram di sebuah bangsal dalam ladang kelapa sawit di Felda Chiku, Gua Musang dekat sini kelmarin.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 22 hingga 39 tahun itu ditahan semasa anggota polis menjalankan serbuan menerusi Ops Tapis kira-kira pukul 1.30 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan dijalankan, anggota polis menjumpai satu beg plastik berwarna hitam di atas tanah di hadapan bangsal tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam plastik itu telah menemui satu bahagian disyaki kepala kijang dan beberapa bahagian daging haiwan tersebut.

“Kita juga menemui satu plastik canvas di atas tanah yang mengandungi selaras senapang dan berisi sebutir peluru jenis 12 Bore. Pemeriksaan di dalam satu plastik di lokasi sama menjumpai 13 butir peluru hidup jenis sama.

“Anggota yang bertugas merampas sebanyak 15 biji pil kuda bernilai RM150 bersama suspek yang ditahan. Kesemua pil-pil itu dipercayai digunakan oleh mereka sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, siasatan mendapati, senapang itu dipercayai buatan sendiri dan polis tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dengan sindiket pemburu haram.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima lelaki yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, senapang termasuk 14 butir peluru hidup, kepala dan daging kijang itu dirampas untuk siasatan lanjut.

“Empat suspek ditahan reman selama enam hari bermula kelmarin manakala lelaki warga Thailand itu pula selama 14 hari bermula tempoh sama,” katanya.

Menurutnya Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 60(1) (b) Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010.

Katanya, bagi suspek warga Thailand itu pula kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

POPULAR