fbpx
Keadaan longkang tersumbat di Jalan Ayer Hitam, Dengkil yang boleh menjadi punca kepada masalah banjir jika hujan lebat. FOTO MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

Lapor segera jika longkang tersumbat – MP Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) meminta penduduk setempat supaya melaporkan segera keadaan longkang tersumbat di kawasan masing-masing sebagai persediaan berdepan musim banjir tidak lama lagi.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, perkara itu penting bagi memastikan longkang sedia ada dapat berfungsi dengan baik dan mampu menerima jumlah aliran air yang banyak.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama syarikat konsesi KDEB Waste Management (KDEBWM) sudah digerakkan beberapa bulan lalu bagi melakukan aktiviti selenggara longkang.

“Tapi biasalah, setiap kali diselenggara, longkang akan kembali tersumbat. Justeru, kami meminta penduduk setempat supaya dapat membantu sama dalam menyelenggara longkang berkenaan.

“Ketika ini, pihak konsesi hanya mampu menyelenggara longkang dua kali sebulan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MP Sepang di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya turut mengenalpasti empat hotspot banjir di daerah Sepang masing-masing di Mukim Dengkil, Mukim Labu, beberapa lokasi di Puchong dan Batu Dua.

Abd Hamid berkata, empat lokasi ini mempunyai sejarah banjir terutama pada akhir tahun lalu dengan Mukim Dengkil yang paling teruk terjejas.

Menurutnya, bagi persediaan banjir kali ini, MP Sepang ditugaskan untuk menjaga dan menguruskan pusat pemindahan sementara (PPS) seperti ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang.

Katanya, jika diperlukan, MP Sepang juga bersedia menggerakkan pegawai dan kakitangannya menerusi Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) bagi misi bantuan banjir.

“Buat masa ini, PANTAS diperkuatkan dengan dua buah bot dan kami boleh mendapatkan kerjasama daripada pengusaha bot di Bagan Lalang jika bantuan tidak mencukupi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR