fbpx
Kesan pengambilan garam dalam kehidupan harian memberi impak negatif kerana ia terbukti menyebabkan peningkatan tekanan darah.- gambar hiasan

Kurang ambil garam jamin kesihatan lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN garam dalam masakan harian memainkan peranan penting bukan sahaja untuk membuat makanan menjadi lebih enak, tetapi juga digunakan sebagai agen pengawet bagi memastikan makanan tahan lebih lama.

Terdapat pelbagai jenis garam yang terdapat di pasaran, namun yang paling kerap digunakan oleh masyarakat di Malaysia adalah garam daripada unsur sodium dan klorida (NaCL).

Manakala garam lain adalah seperti garam beriodin dan garam gantian yang mengandungi potassium.

Garam sodium klorida menjadi pilihan utama kerana harganya yang murah dan senang didapati di kedai serbaneka atau pasar raya.

Agak sukar untuk kita mengetahui sama ada sesetengah makanan itu mempunyai kandungan garam tinggi.

Ini kerana, hampir keseluruhan makanan yang dijual mengandungi garam.

Lebih-lebih lagi makanan segera seperti burger, kentang goreng atau sosej yang terbukti mempunyai kandungan garam yang tinggi.

Kesan pengambilan garam dalam kehidupan harian memberi impak negatif kerana ia terbukti menyebabkan peningkatan tekanan darah.

Keadaan ini akan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit darah tinggi.

Bukan sahaja penyakit darah tinggi, pengambilan garam berlebihan juga boleh menyebabkan seseorang mendapat risiko penyakit jantung, strok dan juga kegagalan buah pinggang.

Mengikut rekomendasi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita disarankan untuk mengambil sebanyak 5 gram garam sehari (2.3 mg sodium), bersamaan satu sudu kecil.

Bagaimanapun, kajian yang dilakukan di Malaysia melalui Malaysian Community Salt Survey (MyCoSS) menunjukkan, masyarakat negara ini mengambil garam lebih daripada yang sepatutnya.

Kebanyakan mereka adalah golongan yang sering menjamu selera di kedai makan dan juga restoran.

Apakah makanan yang mempunyai kandungan garam paling tinggi di Malaysia?

Pengambilan garam berlebihan dalam diet harian boleh mengakibatkan individu mendapat penyakit jantung. – gambar hiasan

Mengikut kajian yang bertajuk High sodium food consumption pattern among Malaysian population menunjukkan, kandungan garam sodium adalah paling tinggi dalam masakan sayur goreng, roti dan kicap.

Jadi, bagaimana untuk mengurangkan penggunaan garam dalam kehidupan kita?

Terdapat pelbagai cara untuk mengurangkan penggunaan garam dalam kehidupan harian, antaranya meminimumkan pengambilan garam kepada satu sudu kecil sehari.

Cara terbaik adalah dengan menyediakan makanan sendiri di rumah.

Ini bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan garam, malahan dapat mengurangkan pengambilan bahan perasa lain seperti monosodium glutamate (MSG), kicap dan juga kiub perasa.

Dalam hal ini, penggunaan herba atau rempah ratus, cuka, bawang, halia, lada putih dan lemon dapat digunakan sebagai pengganti garam.

Ibu-bapa turut memainkan peranan yang penting bagi mengajar anak-anak untuk membiasakan diri dengan memakan makanan kurang kandungan garam.

Keadaan ini dapat melatih mereka untuk sentiasa peka terhadap pengambilan garam dalam makanan.

Bukan itu sahaja, kita juga perlu mengurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi seperti ikan, telur masin, sayur goreng, makanan ringan seperti kerepek kentang atau ubi, selain makanan yang diproses seperti sosej, nuget dan burger.

Dengan memilih untuk memakan sayur sayuran atau buah-buahan, dapat mengurangkan dari mengambil makanan yang diproses.

Anda juga disarankan untuk sentiasa membaca kandungan sodium dalam setiap makanan yang dibeli di pasar raya.

Pastikan kandungan sodium adalah rendah termasuk kandungan monosodium glutamate dan sodium nitrate.

DR. ISKANDAR MIRZA AMRAN ialah Felo Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara.

POPULAR