fbpx

RM5.6 bilion bangunkan kolam takungan dwi-fungsi dan LRAL2F2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim menerima cenderamata buku daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim (dua kiri) selepas sidang akhbar Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek Kolam Takungan Dwi Fungsi Sungai Klang-Rasau dan LRAL2F2

PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukan lebih RM5.6 bilion bagi membina kolam takungan dwi-fungsi Sungai Klang-Rasau dan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 2 (LRAL2F2) yang akan mula dilaksanakan Januari tahun depan.

Menteri Air dan Sumber Asli, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kolam takungan dwi-fungsi untuk bekalan air mentah dan tebatan banjir itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, projek itu dilaksanakan serentak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan dijangka membekalkan 1.4 juta liter air sehari untuk kegunaan 467,000 akaun pelanggan di Petaling dan Klang, Selangor.

“Projek ini akan meningkatkan rizab margin bekalan air keseluruhan Selangor melebihi 15 peratus,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas pelaksanaan projek kolam takungan dwi-fungsi Sungai Klang-Rasau dan LRAL2F2, hari ini.

Katanya, kolam berkenaan turut berfungsi sebagai tebatan banjir ketika musim tengkujuh dan mampu membekalkan bekalan air sekurang-kurangnya tiga bulan sekiranya berlaku pencemaran di loji rawatan air.

Tuan Ibrahim berkata, kolam itu juga mampu mengekstrak sebanyak 26 juta meter padu air dari Sungai Klang ketika aliran puncak yang membawa kesan penurunan dianggarkan sehingga 500 milimeter aras air di bahagian hilir sungai.

Mengenai LRAL2F2 pula, Tuan Ibrahim berkata, loji itu berupaya meningkatkan bekalan air di Lembah Klang dengan memanfaatkan projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor dengan kapasiti 1.8 juta liter sehari.

Katanya, loji itu juga membantu meningkatkan rizab margin bekalan air di Selangor melebihi 20 peratus apabila projek berkenaan siap sepenuhnya kelak.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek bagi mengurangkan risiko banjir di Lembah Klang termasuk menambah jumlah siren amaran banjir, stesen kamera web, pusat pemantauan aras air, pusat pemantauan hujan dan meningkatkan jangka hayat benteng banjir.

“Kita telah menambah siren amaran banjir kepada 33 unit, stesen kamera web (34 kepada 53), pusat pemantauan aras air (13 kepada 41), pusat pemantauan hujan (30 kepada 53) serta jangka hayat ban ditingkatkan dari 100 tahun kepada 200 tahun,” katanya.

Katanya, kesemua projek terbabit telah siap dan membabitkan kos sebanyak RM66 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI