fbpx
ADIRA selamat melahirkan zuriat keempatnya di sebuah pusat perubatan di Sungai Buloh hari ini.

Adira timang anak keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Penyanyi Adira Suhaimi mengumumkan selamat melahirkan anak keempat iaitu bayi lelaki seberat 3.5 kilogram secara pembedahan kira-kira pukul 1 tengahari, hari ini.

Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 31, memberitahu sangat bersyukur atas kelahiran cahaya mata keempatnya itu dan kini berada dalam keadaan baik dan sihat.

“Alhamdulillah saya lahirkan seorang bayi lelaki secara pembedahan. Semuanya berjalan dengan lancar.

“Saya dan juga bayi turut berada dalam keadaan baik. Saya sebenarnya masih lagi mamai kesan ubat bius pembedahan siang tadi,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, dia turut berkongsi bahagian bibir bayinya yang comel itu.

Pada masa sama, bekas peserta program Akademi Fantasia itu gembira apabila ditemani ibunya yang datang dari Sabah ke Kuala Lumpur untuk menjaganya sepanjang tempoh berpantang nanti.

“Mujur ibu saya juga ada di sini (Kuala Lumpur) untuk membantu saya ketika berpantang nanti.

“Terima kasih atas doa kalian semua. Sekarang saya mahu fokus berpantang sahaja,” katanya.

Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, pelantun lagu Pujaan Hati itu memberitahu telah bersedia untuk ‘tutup kilang’ selepas melahirkan cahaya mata keempat.

Kata Adira, dia mengakui sudah penat untuk bersalin dan hamil lagi selepas dikurniakan empat orang cahaya mata.

“Saya tak mahu hamil lagi, cukuplah empat anak. Suami pun tak kisah dengan keputusan saya,” jelasnya.

Kehadiran cahaya mata keempat dalam hidup Adira juga menjadi bukti bahawa mahligai yang dibina bersama suami tercinta, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red itu masih lagi bahagia.

Untuk info, Adira selamat bernikah dengan suaminya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand.

Hasil perkongsian hidup, Adira dan suami dikurniakan tiga cahaya mata, Anggrek, 5, Asan, 4, dan Anggun, 3. – KOSMO! ONLINE

POPULAR