fbpx

Bekas Pengarah AADK Melaka didenda, ambil suapan RM400 untuk jabatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah menerima suapan RM400 bagi kegunaan jabatan, empat tahun lalu.

MELAKA – Bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah menerima suapan RM400 bagi kegunaan jabatan, empat tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas, tertuduh, Mohamad Yusof Kameh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pengarah AADK Melaka telah menerima untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai RM400 tanpa balasan daripada Budyarif Rahmat yang mana tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di pejabat AADK di Ayer Keroh Melaka, dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Jun 2018.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksiumum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada Mac 2018 tertuduh telah menghubungi Budyarif dan memanggilnya ke pejabat bagi mendapatkan perkhidmatan bekalan beg kertas.

Dalam perbincangan itu tertuduh telah meminta agar Budyarif memberikan wang sebanyak RM400 untuk kegunaan pejabat AADK dengan cara menaikkan sebut harga menjadi RM4,630 melalui Syarikat Mutiara Event Management & Supplies.

Pada 21 Jun 2018 Budyarif telah membuat pengeluaran secara cek tunai dan menyerahkan sebahagian RM400 kepada tertuduh seperti diminta untuk melaksanakan program jabatan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob bagaimanapun memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor kesalahan serius dan kepentingan awam.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar dan bersetuju tiga lagi pertuduhan diambil kira sebagai TIC. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI