fbpx
DARI kiri: Surin, Yoshikai, Jacob dan Henry berbangga dengan usaha Canon mengambil tanggungjawab memelihara 35 pokok di Taman Tugu.

Salur RM56,000 pelihara pokok di Taman Tugu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USAHA memelihara dan memulihara pokok-pokok telah digembleng banyak pihak mutakhir ini apabila isu-isu alam sekitar seperti pemanasan global dan bencana alam luar biasa semakin menjadi ancaman.

Sebagai usaha untuk memelihara alam sekitar dan mempromosikan kemampanan, Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (Canon) baru-baru ini telah menyumbang sebanyak RM56,000 untuk pemeliharaan 35 pokok di Taman Tugu, Kuala Lumpur.

Pemeliharaan 35 pokok secara adopted atau ‘anak angkat’ tersebut merupakan satu inisiatif bermakna untuk Canon kerana syarikat tersebut turut meraikan ulang tahun ke-35 penubuhan perniagaannya di Malaysia pada tahun ini.

Kekal komited untuk menjadi syarikat peneraju global yang mampan dalam bidang pengimejan dan teknologi, syarikat itu bergiat aktif untuk menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan operasi perniagaan yang mampan dan pemeliharaan alam sekitar.

Acara perasmian sumbangan untuk pemeliharaan pokok-pokok tersebut diadakan di Taman Tugu dan dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Shunji Yoshikai; Pengarah Kewangan Canon Marketing Malaysia, Henry Ho; Pengarah Eksekutif Taman Tugu, Calvin Jacob dan Ketua Pengumpulan Dana, Pengaktifan dan Komunikasi Taman Tugu, Tracey Surin serta 60 kakitangan Canon.

Demi meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar, Canon juga telah bekerjasama dengan dua perusahaan atau organisasi iaitu Me.reka dan Free Tree Society untuk mengadakan bengkel bagi kakitangannya

Melalui Me.reka, kakitangan Canon berpeluang untuk menghasilkan sistem tanaman dengan pengairan sendiri menggunakan bahan-bahan kitar semula.


POKOK Yang bakal dipelihara Canon di Taman Tugu ditandakan dengan label syarikat itu.

Free Tree Society, sebuah organisasi yang menerajui penjagaan alam sekitar di Malaysia pula mengadakan Program Pendidikan Alam Sekitar Taman Tugu di mana mereka memberi bimbingan berkebun serta berkongsi pengetahuan tentang pemeliharaan ekosistem dan iklim.

“Canon sentiasa mencari cara baharu untuk menunjukkan sokongan kami terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ini merupakan kali pertama kami menjalankan inisiatif pemeliharaan pokok dan kami berbesar hati untuk turut memainkan peranan dalam pemeliharaan Taman Tugu, salah satu aset hijau Malaysia yang menempatkan kira-kira 1,000 spesies pokok terancam,” kata Yoshikai.

Canon dipandu oleh falsafah korporatnya iaitu Kyosei, yang ditakrifkan sebagai fokus perniagaan tersebut untuk ‘hidup dan bekerjasama bagi mencapai manfaat yang boleh dinikmati bersama.’

Berdasarkan falsafah ini, Canon berusaha untuk menangani ketidakseimbangan dalam komuniti dan menyumbang ke arah kemakmuran global.

Inisiatif pemeliharaan pokok ini adalah sebahagian daripada program One Canon One Tree Canon yang dilancarkan pada tahun 2016 untuk menyumbang ke arah masyarakat rendah karbon.

Sejak itu, syarikat tersebut telah menanam lebih 8,000 pokok termasuk 511 pokok sebagai sumber makanan untuk tapir-tapir yang menjalani rehabilitasi di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor.

Pada tahun ini, Canon telah menanam lebih 300 pokok di pusat konservasi tersebut untuk menunaikan janji yang dibuat pada tahun lalu bagi menjayakan Program Konservasi Tapir yang dikendalikan oleh Malaysian Nature Society serta Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).


PELBAGAI aktiviti lain turut dilaksanakan seperti bengkel berkaitan alam sekitar.

Syarikat itu nekad akan terus bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan perlindungan alam sekitar lain bagi memenuhi komitmennya untuk memelihara dan memulihara kepelbagaian biodiversiti di Malaysia.

“Perniagaan kami disokong oleh pembangunan masyarakat secara keseluruhannya.

“Oleh itu, kami berpegang dengan pengamalan prinsip pengimejan untuk manfaat bagi mewujudkan masyarakat yang lebih baik selain mencipta dan merakam senyuman di mana saja kami pergi,” kata Yoshikai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN