fbpx

Bekas pegawai khas didakwa palsukan slip gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bekas pegawai khas Menteri Besar Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Johor Bahru di sini.

JOHOR BAHRU – Bekas pegawai khas kepada bekas Menteri Besar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan slip gaji berjumlah lebih RM15,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Anuar Daud, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa telah memalsukan dokumen slip gaji syarikat penerbangan tempatan bagi Mei 2018 atas namanya yang berjumlah RM15,820.63, dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di sini antara 26 Jun hingga 10 Julai 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh manakala tertuduh diwakili peguam, Hazza Khalid dan Suraya Hani Abdul Halim.

Terdahulu, Dayang Masneh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin manakala pasport tertuduh diserah kepada mahkamah serta perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan.

Peguam tertuduh memohon jumlah ikat jamin dikurangkan berikutan tiga anak tertuduh masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang mana pasportnya turut diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 November depan bagi penyerahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI