fbpx
RAISA

Tiket Konsert Raisa di KL laris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Tidak sampai empat jam kaunter jualan online dibuka, lebih 60 peratus tiket Konsert Raisa : Live In Malaysia yang dijadualkan pada 20 November depan sudah separuh disambar peminat.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, sambutan memberangsangkan penggemar muzik terhadap persembahan mega secara langsung dibuktikan menerusi sokongan tidak berbelah bagi kepada penyanyi tempatan dan antarabangsa.

“Kami yakin baki 40 peratus tiket yang masih ada kini iaitu pada kadar antara RM200 hingga RM250 akan terus menjadi rebutan menjelang tarikh berlangsungnya konsert.

“Melihat maklum balas awal ini saja kita tahu Raisa yang terkenal di Indonesia turut mempunyai pengikut tegar di Malaysia yang rata-rata mengikuti perjalanan kerjaya seninya sejak single debut pada 2011.

“Selaku penganjur konsert berpengalaman yang sudah membawa masuk ramai penghibur tersohor, Hitman Solutions yakin langkah membawa penyanyi pop R&B ini ke Kuala Lumpur sebagai keputusan tepat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Konsert Raisa : Live In Malaysia bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 20 November depan, bermula jam 8.30 malam.

Terdahulu perjalanan penyanyi berusia 32 tahun itu di dunia nyanyian bermula sejak kecil lagi hingga mendorongnya mengutip pengalaman mengadakan persembahan di kafe sekitar Jakarta.

Selepas single pertama, Serba Salah meraih perhatian, dia dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik di Anugerah Musik Indonesia (AMI) Ke-15 dan Artis Wanita Baharu Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2016.

Sementara itu, Rohit mengakui pengiktirafan terhadap karya penyanyi tersebut sebagai bonus yang menjadi antara faktor Raisa mempunyai kredibiliti tersendiri.

“Bersandarkan perancangan, konsert dijangka berlangsung kira-kira dua jam, membabitkan sebanyak 20 lagu popular diperdengarkan.

“Konsert itu nanti bakal diiringi barisan pemuzik profesional dan produksi audio visual kami yang berpengalaman mengendalikan konsert antarabangsa.

“Lokasi persembahan di Zepp Kuala Lumpur selaku gelanggang gah untuk konsert besar dengan dilengkapi sistem bunyi dan penataan cahaya hebat juga menjadikan konsert ini lebih bermakna,” katanya.

Selain kategori tiket VVIP, CAT 3 dan CAT 4 yang sudah habis dijual pada hari pertama, tiket bagi CAT 1 berharga RM250 dan CAT 2 (RM200) juga semakin laris.

Sebarang maklumat mengenai konsert atau pembelian tiket Raisa: Live in Malaysia boleh dikemukakan menerusi laman rasmi www.hitmanlive.com.

Sebelum ini, Hitman Solutions yang ditubuhkan sejak 15 tahun lalu pernah membawa ramai artis antarabangsa seperti Datuk Shah Rukh Khan, Arijit Singh, Shreya Ghosal, Jubin dan ramai lagi.

POPULAR