fbpx
Sebatang pokok tumbang di halaman depan rumah di Irich Cove, Nova Scotia kelmarin. -AFP

Giliran Kanada pula dibadai Taufan Fiona

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA – Taufan Fiona yang melanda timur Kanada kelmarin menyebabkan bekalan elektrik terputus dengan beribu-ribu rumah musnah dan dihanyutkan ke laut ketika ia membadai wilayah itu dengan tiupan angin kencang serta hujan lebat. 

Dua wanita dihanyutkan ke lautan di Newfoundland, kata Polis Diraja Kanada. Seorang daripadanya telah diselamatkan, manakala mangsa kedua masih dicari.

Datuk bandar Channel-Port aux Basques, Brian Button memberitahu stesen penyiaran CBC News bahawa situasi di kawasan itu mendatangkan ‘kemusnahan total’ dan ‘menjadi lebih besar serta lebih buruk daripada yang dibayangkan’.

“Ini adalah angin paling kuat yang pernah dilihat oleh sesiapa sahaja dalam masyarakat. Beberapa rumah dihanyutkan ke laut,” kata seorang editor akhbar di Channel-Port aux Basques, Rene Roy.

Sehingga lewat petang kelmarin, hampir 500,000 rumah terputus bekalan elektrik di seluruh wilayah itu ketika ribut membadai kawasan yang luas, menumbangkan banyak pokok dan menerbangkan bumbung bangunan.

“Wayar elektrik terputus di mana-mana. Tidak selamat untuk berada di jalan raya,” kata Penolong Ketua Bomba dan Kecemasan Wilayah Halifax, Erica Fleck.

Meskipun tahap ribut telah diturunkan kepada siklon pasca-tropika, Taufan Fiona masih membawa angin ribut taufan berkelajuan 130 kilometer sejam (km/j) ketika melanda Kanada selepas membadai wilayah Carribean sebelum itu, demikian menurut ahli meteorologi.

Menjelang petang kelmarin, kelajuan maksimum angin mulai perlahan kepada 109 km/j, lapor Pusat Taufan Kanada (CHC). 

Kerajaan bagaimanapun melaporkan kadar tiupan berasingan lebih 160 km/j di wilayah Newfoundland dan Labrador serta Nova Scotia. – AFP

POPULAR