fbpx
DR. MOHD. IZHAR ARIFF menasihatkan pendakwah, agar tidak sentuh isu yang bukan bidang mereka bagi mengelak berlaku kekeliruan. -MUHAMAD IQBAL ROSLI

Ustaz ‘songsang’ terbiasa tabiat buruk ketika zaman belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AWAL minggu lalu, masyarakat di negara ini gempar apabila berita berkenaan seorang penceramah selebriti yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal yang didakwa dilakukannya terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur tular di media sosial.

Bukan isu baharu, seringkali golongan agamawan terpalit dengan isu kontroversi seperti ini sehingga menyebabkan segelintir individu mula memandang sinis terhadap mereka terutamanya dalam kalangan pendakwah selebriti.

Tidak memukul rata, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual pendakwah yang juga Timbalan Dekan di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim di pejabatnya baru-baru ini bagi menjawab beberapa persoalan yang berlegar-legar dalam kalangan masyarakat berhubung isu tersebut.

KOSMO! AHAD: Dalam era masa kini ketika banyak perkara baharu, penularan budaya asing dan banyak hal boleh memesongkan akidah, kewujudan pendakwah atau golongan agamawan penting untuk memberi pencerahan atas kemusykilan dan menyeru kembali ke landasan agama. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

DR. MOHD. IZHAR ARIFF: Saya melihat tugas pendakwah pertama sekali, bukan hanya penglipur lara, tetapi mereka perlu menyampaikan maklumat yang betul.

Antara tugas-tugas pendakwah hari ini selain berdepan dengan masyarakat, mereka perlu ada ilmu tentang apa ingin yang disampaikan.

Jika mereka datang ke majlis atau kuliah tanpa membuat persediaan yang betul, maka penyampaian jadi sia-sia kerana mereka tidak ada ilmu tentang apa yang ingin disampaikan.

Pendakwah juga perlu mendapat maklumat tepat mengenai isu yang berlaku, sebagai contoh ajaran sesat.

Jadi maklumat melibatkan ajaran sesat perlu didalami dan diketahui pendakwah ini dengan fakta jelas dan asli bagi mengelakkan kekeliruan.

Mereka juga pakar dalam apa yang ingin disampaikan. Jika bukan bidang mereka, jangan sentuh, sebaliknya biarlah orang yang ahli sendiri bercakap. Jika tidak, ia akan mendatangkan kekeliruan lebih teruk.

Apakah cabaran dihadapi pendakwah di era media sosial ini yang mana mungkin tidak dialami pada zaman dahulu?

Berbeza. Saya sempat berada di kedua-dua zaman.

Era sebelum adanya rakaman dan media sosial, yang mana jika kita berdakwah di masjid tertentu, masjid itu sajalah yang akan mendapat pengisian disampaikan dan ia tidak dikongsikan ke seluruh alam.

Tetapi dengan adanya media sosial hari ini, ia membantu menyebarkan lagi satu-satu ilmu, yang mana mereka lebih terbuka dan boleh mengakses maklumat yang diinginkan menerusi laman sosial.

Bagaimanapun, negatifnya apabila segala tindak-tanduk pendakwah ini akan dipantau netizen.
Jika satu-satu pendakwah terpalit dengan kontroversi, ia akan tersebar dengan pantas dan netizen akan mempertikaikan apa yang diperkatakan pendakwah tersebut. Itu yang kita tidak mahu.

Seringkali kita dengar, orang kata lagi kuat kita berpegang dan beramal dengan agama, lagi besar godaan syaitan yang cuma menyesatkan. Adakah Datuk setuju?

Saya setuju, apabila kita makin berjawatan kita makin akan diduga. Jika ditanya orang yang menerima rasuah, orang bergred rendah akan menerima rasuah pada skala kecil berbeza dengan individu berpangkat, yang mana rasuahnya juga besar.

Sama juga seperti pendakwah. Lagi besar nama dan pengaruh, lagi besar dugaannya. Semua itu orang akan lihat dan itulah sebabnya dugaan pendakwah cukup besar jika kita tidak berhati-hati.

Penting untuk individu mempunyai dan dikelilingi rakan-rakan yang baik serta selalu menasihati antara satu sama lain.

Bagaimanapun individu itu sendiri perlu selalu bermuhasabah diri dan jangan sombong, kerana ia akan menyebabkannya lalai.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita seorang pendakwah dikaitkan dengan kes jenayah amang seksual terhadap remaja lelaki. Pada pandangan Datuk, apa sebenarnya yang berlaku kepada masyarakat kita pada hari ini hinggakan golongan agamawan turut terpalit dengan isu mencemarkan imej Islam?

Pertama, perlu ingat bahawa agamawan, ahli politik, menteri atau sesiapa sahaja di muka bumi ini makhluk Allah dan mereka semua adalah manusia. Jadi, sebagai manusia kita akan tidak terlepas daripada membuat dosa.

Bagaimanapun, sebaik-baik pendosa itu adalah mereka yang memohon keampunan daripada Allah SWT. Cuma sekarang, apabila kita lalai, kita akan meneruskan perbuatann itu.

Jadi kenapa ia berlaku kepada ustaz-ustaz itu juga? Kerana pertama, mereka tidak berhati-hati dalam setiap langkah.

Keduanya, terlalu obses dengan apa yang mereka ada. Jika kita terlalai dengan kemasyhuran, itu akan menyusahkan, terutamanya apabila kita tidak berhati-hati.

Antara sebab pendakwah terlibat adalah apabila dia tidak kawal kehidupan peribadi mereka, seperti nombor telefon. Saya sendiri takut sehingga ke hari ini biarpun saya telah berkecimpung dalam dakwah media ini lebih 10 tahun bermula 2007.

Mengambil contoh, saya hanya akan memberikan nombor telefon pembantu apabila diminta berbuat demikian dan beliau sendiri berkata, ada sahaja individu yang menghantar gambar-gambar mahupun mesej tidak sepatutnya.

Bagaimanapun, alhamdulilah saya dapat pembantu yang begitu amanah dan tidak melayan mesej-mesej tersebut. Perkara sebeginilah yang perlu berjaga-jaga, amat bahaya jika tidak diawasi.

Selain itu, punca lain adalah tabiat. Amang seksual merupakan tabiat tidak baik.

Jadi kena hati-hati, kerana jika kita sudah amalkannya sebelum ini, ia akan terbawa-bawa dan itu terletak atas individu itu sendiri.

Itu sebab mengapa pendakwah terlibat. Bagaimanapun, perlu diingatkan individu itu tidak akan dikira bersalah selagi tidak dibicarakan di mahkamah.

Sebagai orang dikenali dalam masyarakat, orang-orang seperti ini mudah mendapat kepercayaan orang ramai terutama ibu bapa. Adakah mereka fikir dengan gelaran ustaz atau penceramah yang dipegang, mereka boleh boleh berselindung dengan agama untuk melakukan perkara tidak sepatutnya?

Bila sebut sahaja pendakwah atau ahli akademik, orang akan percaya.

Bagaimanapun jangan sesekali menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan orang kepada kita. Apa-apa pun semua orang perlu beringat dan berhati-hati termasuk saya sendiri.

Mungkin mereka berasa diri mereka hebat kerana dikenali ramai melalui ceramah-ceramah yang disampaikan kepada orang ramai hingga lupa diri. Apa nasihat Datuk kepada golongan sebegini?

Pertama sekali jangan sombong dan sentiasalah belajar dengan orang-orang yang lebih lama daripada kita.

Seperti saya sendiri, saya tidak malu untuk meminta nasihat daripada Datuk Dr. Fadzilah Khamsah yang merupakan orang lama dalam industri.

Kedua, jangan salah guna kepercayaan orang kepada kita. Ini kerana, mereka percaya disebabkan agama yang kita ada dan nasihat yang kita beri.

Tetapi jika kita gunakan pada tempat tidak betul, kacau rumah tangga atau anak orang, itu tidak bagus.

Ketiga, perkara yang paling penting ialah takwa. Cakap memang mudah, tetapi nak melakukannya agak payah dan sebab itulah, individu boleh terjebak hanya kerana mereka lalai dan tiada rasa takut kepada Allah dalam semua keadaan.

Akhir sekali, perlu ada rasa malu dengan diri sendiri. Malu apabila kita bercakap, tetapi tidak buat. Itu yang perlu ada.

MENJADI pendakwah berwibawa tidak perlu sombong dan sentiasa belajar dengan mereka yang lebih lama dalam bidang itu. – GAMBAR HIASAN

Apa sebenarnya mereka mahukan, adakah kemasyhuran hingga menjadi lupa diri daripada tanggungjawab sebenar untuk mengajak masyarakat mendekatkan diri dengan agama?

Saya nak cakap payah, sebab tiada kajian mengenai perkara tersebut.

Kemasyuran semua orang mahukan kerana dengan melaluinya pelbagai perkara boleh dilakukan.

Jika benar itulah yang dikejar, mereka akan dapat kemasyuran, tetapi tidak dapat perlindungan Allah.

Sebaliknya, jika individu itu kejar dan mahu menjaga Allah, maka Allah murahkan rezeki mereka.

Mengambil contoh Datuk Harun Din dan Datuk Hassan Din, bayangkan mereka ini memberi impak besar kepada kita.

Mereka berada dalam bidang dakwah lebih daripada 20 tahun, tetapi tidak terpalit sebarang isu.

Mereka berdakwah kerana mahu mendidik dan berkhidmat untuk masyarakat. Bila masuk politik pula, mereka mahu berkhidmat kepada rakyat.

Tetapi apabila yang dikejar kemasyhuran, itulah yang akan mereka peroleh. Tetapi itu tidak akan lama dan tidak akan ke mana.

Sebaliknya jika dibuat kerana dakwah, Allah akan buka dan luaskan rezeki. Pun begitu, apabila sudah kekal lama pula, janganlah sombong, sebaliknya kekal istiqamah.

Dalam isu berkaitan, pusat-pusat tahfiz juga tidak sunyi dengan isu-isu sedemikian kerana sering kita dengar berita segelintir tenaga pengajarnya sanggup meliwat pelajar dan memusnahkan masa depan mereka. Mengapa orang yang sepatutnya melindungi pelajar yang masih mentah ini sanggup terjebak nafsu songsang?

Ia jadi begitu kerana sikap dari awal. Sebenarnya bukan di peringkat tahfiz sahaja, di universiti juga ada.

Pertama sikap individu itu dari awal lagi, yang mana mereka mungkin sudah begitu sejak di zaman belajar.

Apabila balik ke Malaysia jadi guru mahupun ustaz tahfiz al-Quran dan melihat budak-budak comel, dia buat perkara yang dilakukan sewaktu zaman belajar dalam kehidupan harian hari ini. Jadi berhati-hatilah.

Satu ketika dahulu, ibu bapa yang tidak dapat mengawal kenakalan anak-anak remaja mengambil jalan singkat dengan menghantar mereka ke pondok atau pusat tahfiz dengan harapan menjadi baik. Namun sebaliknya yang berlaku, anak-anak ini semakin tidak dapat dikawal. Apakah perkara sebegini turut menyumbang kepada perkara negatif di pusat tahfiz?

Boleh dikatakan, satu kajian perlu dilakukan kenapa banyak isu dilaporkan semuanya melibatkan pelajar sekolah tahfiz.

Mungkin pandangan saya, budak-budak yang masuk bukan pelajar pintar. Persepsi ibu bapa mahu menjadikan anak-anak mereka berakhlak dan rajin, maka mereka hantar menghafaz al-Quran.

Mereka yang masuk tahfiz itu sebahagiannya bermasalah.

Ia menjadi seperti sebuah pusat pemulihan akhlak sedangkan untuk menghafaz al- Quran memerlukan pelajar bijak kerana ia lebih susah daripada mempelajari ilmu Matematik, selain memerlukan daya ingatan kuat.

Kita kena ubah persepsi, anak yang bijaklah perlu hafaz al-Quran, seterusnya menjadikan suasana sekolah tahfiz baik kerana pelajar-pelajarnya mempunyai perangai baik.

Itu sebabnya kita silap dari sudut persepsi. Kenapa banyak berlaku di tahfiz, pembawakan orang-orang dahulu kerana kebanyakan ustaz yang diambil adalah mereka dari luar negara, yang mana di sana liwat adalah satu perkara biasa.

Apabila perkara itu sudah terbiasa, tanpa segan silu akan dijadikan amalan. Perkara-perkara sebegini memang menakutkan. Jangan main-main dengan nafsu dan itu sebabnya kita perlu sentiasa beringat.

Jika perkara sebegini terus membelenggu masyarakat Islam tanpa ada perubahan, mungkin segelintir masyarakat akan memandang serong terhadap golongan agamawan lain yang tiada kena mengena dengan isu negatif ini. Apa komen Datuk?

Kadangkala kita rasa malu juga apabila orang kata begitu, tetapi kita sebenarnya tidak boleh punya rasa malu.

Inilah salah satu pembersihan yang Allah mahu tunjukkan. Allah mahu bersihkan nama ustaz jadi Allah keluarkan orang-orang yang rosak daripada kelompok ustaz-ustaz.

Bala Allah ini jika ia turun bukan hanya orang buat maksiat sahaja yang merasainya tetapi kepada sesiapa sahaja di situ.

Sebenarnya ada hikmah atas apa yang berlaku.

Memang ada perasaan malu dan apabila berlaku, ia memberi impak kepada nama ustaz dan ustazah, lebih-lebih lagi apabila masyarakat memandang sinis terhadap golongan ini. Ia merupakan tamparan kepada kita yang bergelar agamawan.

Jadi kita perlu saling ingat mengingati.

Ada pihak mendakwa, rancangan realiti yang melahirkan golongan agamawan muda tidak menzahirkan apa yang sepatutnya, sebaliknya ‘mengeluarkan’ ustaz segera yang lebih sukakan populariti. Apa yang dapat lihat dalam perkara ini?

Usaha stesen televisyen itu bagus dan jangan salahkan televisyen (TV). Mereka hanya mahu buat apa yang dicabar oleh masyarakat.

Apabila TV berjaya melahirkan penyanyi-penyanyi hebat dalam negara daripada rancangan realiti, masyarakat cabar keluarkan pendakwah-pendakwah. Maka wujudlah program Imam Muda dan saya turut terlibat dalam program tersebut.

Alhamdulillah, lahirnya Imam Muda Asyraf dalam episod pertama yang bukan sahaja berjaya menjadi pendakwah dan penceramah, tetapi juga jutawan usahawan baju. Tidak semua ustaz segera ini tidak berjaya, sebaliknya ramai sahaja yang berjaya cuma mereka tidak muncul di kaca TV.

Pertama sekali, jangan salahkan pihak industri atau nama pendakwah selebriti mahupun ustaz ustazah segera. Ini kerana, program-program seperti itulah yang membolehkan kita mencungkil bakat-bakat pelapis-pelapis masa hadapan.

Keduanya, kenapa banyak kes berlaku dalam kalangan realiti TV ini ialah kerana mereka bukanlah dalam agama, memandangkan ada sahaja yang datang berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan, sumber manusia dan lain-lain. Mereka ini bukanlah ustaz, tetapi membawa perwatakan sebagai ustaz.

Tidak boleh menyalahkan program TV itu sahaja kerana kita percaya, setiap individu mahu yang terbaik cuma Allah tidak izinkan.

UJAR Dr. Mohd. Izhar Ariff, jika seseorang pendakwah mengejar kemasyhuran, tidak akan bertahan lama dan tidak akan ke mana.

Apakah nasihat Datuk kepada mereka yg bercita-cita mahu menjadi pendakwah terutama pendakwah selebriti?

Kepada anak-anak yang bakal menjadi pendakwah, apa yang mereka perlu lakukan timbalah ilmu sebanyak mungkin.

Macam mana mahu menjadi ustaz, begitulah juga jika mahu menjadi doktor yang mana kita perlu mempunyai ilmu yang kukuh dan mendalam bidang ini.

Bergurulah dengan guru yang betul kerana kita akan menyampaikan dakwah tersebut bukan sahaja masyarakat hari ini, sebaliknya generasi akan datang.

Jaga penampilan, jangan kelihatan selekeh kerana Nabi tidak pernah selekeh dan sangat menjaga penampilan, bersih dan wangi. Jika dalaman dan luaran berada dalam keadaan baik, barulah mereka dapat menjadi seorang pendakwah yang hebat dan konsisten akhlaknya.

Akhir sekali, jaga akhlak dan buatlah seperti apa yang diperkatakan. Perlu diingatkan akhlak adalah lambang apa yang diperkatakan.

Berkaitan isu lain, terdapat masjid yang mendapat banyak sumbangan daripada orang ramai, malangnya pihak pengurusan buat duit itu macam kepunyaan mereka dengan tidak menyalurkan kepada apa yang sepatutnya. Apa pandangan Datuk?

Kita kena ingat, duit masjid adalah amanah orang ramai kepada pihak pengurusan masjid dan wang itu bukan untuk simpan atau dilaburkan.

Jika mahu simpan atau labur mendapat keuntungan pastinya jemaah akan beri kepada tempat yang sepatutnya.

Jadi apabila beri kepada masjid, gunalah duit itu dengan telus.

Pentadbir masjid yang hebat dapat menggunakan duit masjid yang telah diderma semaksimumnya pada tempat dan ruang betul sehingga menjadikan jemaah yang datang ke masjid tersebut gembira seterusnya akan bersedekah lebih lagi pada masa akan datang.

Sebagai contoh, menyelenggara masjid, membaiki infrastruktur, membeli mikrofon yang bagus supaya kemerduan bacaan imam dapat didengar dengan jelas dan membuatkan jemaah gembira.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN