Pengalaman mendengar bunyi pelik dan menyeramkan di kediaman bertingkat seperti flat, pangsapuri atau kondominium mungkin biasa bagi sesetengah orang yang mengalaminya.
Ini lebih-lebih lagi jika bunyi tersebut datang dari kediaman kosong dan yang telah lama ditinggalkan penghuninya.
Seorang pengurus sebuah kompleks beli-belah di Shah Alam, Azira Musa,47, turut mengalami peristiwa menyeramkan ketika mendiami sebuah kondominium di Ampang, Selangor.
Bercerita lanjut, Azira memberitahu, kejadian menyeramkan berlaku semasa dia baru tinggal di tingkat tujuh kondominium tersebut beberapa tahun lalu.
Katanya, sebagaimana orang lain yang bekerja, menggosok pakaian adalah rutin pada setiap hujung minggu.
Ujarnya, satu hari kira-kira pukul 6 petang, dia mendengar suara dua wanita berbual betul-betul di belakang dinding tempat dia menggosok pakaian.
“Mulanya saya buat tidak kisah, namun tiba-tiba bulu tengkuk saya meremang. Saya baru teringat, tempat dari mana datang suara itu tidak ada rumah orang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Azira berkata, disebabkan gelak ketawa tersebut semakin galak, dia berhenti menggosok baju setelah terlihat jam di dinding menunjukkan pukul 7.30 petang.
Pengalaman menyeramkan itu bukan yang pertama dan terakhir dialaminya.
Ujarnya, selepas itu dia turut diganggu bunyi perabot seperti almari dan meja dialih dari tingkat atas rumahnya pada pukul 9 malam ketika sedang menggosok pakaian.
“Pada mulanya saya fikir mungkin jiran di atas mengemas rumah. Saya diamkan sahaja, tetapi lama-kelamaan bunyi meja dialih makin kuat membuatkan hati menjadi panas,”katanya.
Katanya, dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada suaminya dan mereka naik ke tingkat atas untuk bertemu tuan rumah agar memberhentikan aktiviti tersebut.
Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati rumah tersebut seperti telah lama ditinggalkan dengan pintunya dimangga dan dirantai.
“Saya dan suami menjadi seram sejuk selepas dimaklumkan oleh pihak pengurusan kondominium itu bahawa rumah tersebut sudah lama tidak berpenghuni.

“Persoalannya, siapa yang mengubah perabot dalam rumah itu,” katanya.
Azira memberitahu, selepas peristiwa menyeramkan tersebut, ia berulang beberapa kali.
Namun kali ini katanya, dia dengan suara yang agak tinggi berkata ke arah bunyi-bunyi pelik itu: “Nak bunyi, bunyilah, cuma jangan tunjuk rupa”. Selepas itu ia tidak lagi kedengaran buat seketika.
Selepas lama tidak kedengaran sebarang bunyi dari tingkat atas, ia kembali menghantui kehidupan Azira selepas bertukar kepada bunyi guli jatuh bergolek ke lantai dan orang menumbuk sambal belacan di tengah malam.
“Sampai satu tahap saya merungut macam orang gila kerana marah dengan gangguan demi gangguan yang dialami.
“Orang tua cakap jangan tegur, nanti mudarat. Marah punya pasal saya sudah tidak peduli sebarang risiko,”katanya.
Selepas menerima tawaran bekerja di Shah Alam dan berpindah, dia rasa sungguh lega kerana selama ini sudah ‘penat’ dengan bunyi-bunyi menjengkelkan itu.
Namun gangguan tersebut katanya, berlaku pula di pejabat baharu setelah beberapa bulan selepas itu.
Menghadapi situasi itu, Azira mengomel dalam hati, mungkin ‘hantu’ bunyi tersebut mengikutnya berpindah sekali.
Namun kali ini bunyinya agak berbeza.
“Kali ini suara-suara kanak-kanak sedang bermain dalam bilik kakitangan pula mengganggu menjelang Maghrib. Ia berlaku semasa saya bersendirian di pejabat.
“Sejak itu, saya sudah ‘lali’ dengan bunyi-bunyi pelik walaupun di mana saya berada. Hendak bunyi, bunyilah, tetapi tolong jangan tunjuk muka,” katanya.














