PETALING JAYA – Kejadian dera pelatih yang didakwa berlaku di sebuah madrasah di Shah Alam terbongkar selepas sebuah keluarga mahu menghantar kek dan makanan untuk semua penghuni di pusat tersebut yang ketika itu seramai 150 orang.
Malah, ketika usaha untuk mengeluarkan mangsa dari pusat tersebut berlangsung dalam suasana penuh dramatik apabila pihak pengurusan sukar memberi kerjasama, malah keluarga terbabit dipaksa membayar RM11,970 sebagai pampasan kerana melanggar syarat.
Abang kepada seorang mangsa, Hafiz Ayub berkata, pada awalnya keluarga tidak mengesyaki apa-apa kejadian sehingga pada hari lahir adiknya.
“Kami amat terkejut melihat keadaan adik yang telah kurus, susut badan dan hitam rentung seperti kena jemur di tengah panas terik. Ketika dia masuk ke madrasah itu, beratnya 100 kilogram, tapi susut 20 kilogram dalam tempoh beberapa bulan.
“Kami dah mula rasa tak sedap hati. Pada awal Muharam, kami hantar lagi sumbangan makanan dengan harapan dapat berjumpa adik, namun warden tidak membenarkan dengan alasan kami mengganggu rawatan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Penghuni madrasah itu antaranya terdiri daripada mereka yang mengalami gangguan dan masalah dadah.
Penerapan ilmu agama, solat berjemaah dan zikir antara kaedah rawatan yang dilakukan.
Dakwa Hafiz lagi, ketika mengambil keputusan untuk membawa pulang adiknya itu, pihak madrasah tidak membenarkannya dan meminta pihak keluarga membayar pampasan sebanyak RM11,970 kerana didakwa melanggar perjanjian.

“Mereka tidak membenarkan adik saya dikeluarkan, mereka minta pampasan sebanyak RM11,970 untuk keluarkan kerana kami dah langgar perjanjian. Kami membuat laporan polis dan polis peronda kemudian datang pada malam itu juga.
“Keadaan jadi kecoh sewaktu kami ingin membawa adik saya ke balai polis menggunakan kereta kami, tapi mereka pula berkeras untuk bawa adik saya menggunakan kenderaan mereka sampai menyebabkan berlaku pengelutan,” ujarnya.
Katanya lagi, selepas adiknya yakin bahawa dia sudah selamat selepas dibawa keluar dari madrasah itu, baru dia ceritakan pengalamannya didera dan dibuli ketika berada di sana.
Antara jenis kecederaan dan penderaan yang didakwa dialami adalah jari kaki disepit menggunakan besi, manakala jari tangan pula disepit menggunakan penyepit besi.
“Jari kaki disepit menggunakan buluh. Ada pelajar di situ sampai terberak kerana tidak tahan dikepit dengan besi jerujuk buat rumah.
“Ada juga pelajar didera seperti kepala dipukul dengan menggunakan besi (spanar) dan dipijak serta dihentak ke bucu lantai, dikurung di dalam bilik gelap dan dipukul dengan teruk. Ditumbuk bawah rahang sehingga tidak boleh membuka mulut,” ujarnya.
Sementara itu, ibu mangsa yang ingin dikenali sebagai Zuraina mendakwa, MyKad, lesen, pasport, wang, dompet, kad bank serta barang peribadi pelatih akan disimpan pihak madrasah melainkan diminta pihak keluarga.
Katanya, surat aku janji yang ditandatangani pihak ibu bapa dan institusi tersebut menyenaraikan 13 perkara atau klausa dan kebanyakannya melanggar prinsip kemanusiaan dan perlembagaan serta didakwa tidak sah.
“Ketika hantar anak saya itu pada waktu malam, apa rasionalnya pusat tersebut pegang MyKad pelajar-pelajarnya serta ada klausa yang kelapan di bawah peraturan sama menyebut pelajar tidak dibenarkan cuti selama tempoh tiga tahun.
“Saya merasakan seperti ada yang tidak kena mengenai klausa-klausa tersebut dan membuat keputusan untuk mengambil balik anak saya daripada pusat terbabit,” ujarnya.
Zuraina turut keliru dengan suasana di madrasah terbabit apabila mengetahui tentang jumlah penghuni yang berada di situ yang dikata berjumlah hampir 200 orang.
“Persoalannya tempat itu tidak sebesar mana, bagaimana penghuni-penghuni ini tidur. Saya ada tanya penjaga di situ dan mereka kata penghuni akan tidur bergilir-gilir.
“Terlanjur tanya anak saya, dia cakap mereka akan diberi cili dan garam kemudian makan untuk memastikan mereka tidak mengantuk,” ujarnya.














