fbpx
AKSI lincah dan manja Elly Mazlein ketika membuka gelanggang Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) bersama Nabil Ahmad minggu lalu mencipta trending dalam media sosial.

Tiada istilah rampas tempat Jihan – Elly Mazlein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKSI manja dan lincahnya di pentas mudah menghiburkan sesiapa sahaja.

Tidak keterlaluan andai dikatakan ada penonton yang berdekah ke­tawa hingga kejang urat perut dek terhibur dengan pendekatan pengacaraannya.

Sisi humor yang ditampilkan pemilik nama pentas Elly Mazlein itu begitu bersahaja dan spontan walaupun statusnya bukanlah seorang pelawak.

Dia bahkan ibu kepada dua cahaya mata. Penyanyi juga pelakon itu berkata, selepas terjun ke dunia pengacaraan, dia perlu bijak mencari formula untuk memikat penonton.

Harus diakui juga dia masih hijau untuk digelar sebagai pembawa acara.

KESERASIAN Elly bersama Nabil Ahmad sebagai pengacara GV9 menjadikan pentas program popular itu menjadi semakin gamat dan menghiburkan. – AZRUL RAFIE

Namun, ternyata Elly bukan setakat pengacara ‘asal boleh’ saat ditugaskan mendampingi pengacara tetap Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Nabil Ahmad hujung minggu lalu.

Penghibur yang mesra disapa Kak Lina Pom Pom itu malah berbesar hati dan bersemangat apabila diberi peluang menjadi hos bersama GV9 menggantikan posisi pengacara terdahulu, Jihan Muse yang sedang berpantang.

Bukan ‘perampas’

Mengakui tugasan tersebut sangat berat untuk dipikul, namun Elly tidak mahu melepaskan peluang keemasan yang diberikan.

“Saya dapat tawaran untuk menjadi pengacara GV9 pada bulan Februari lalu. Terkejut juga. Tapi saya tidak fikir panjang dan terus terima sebab saya anggap tawaran ini merupakan satu peluang yang sangat besar.

“Saya sedar diri masih lagi ‘hijau’ dalam bidang pengacaraan. Dapat pula tawaran pengacara GV9, sudah tentu saya tidak akan sia-siakan,” kata selebriti berusia 41 tahun itu.

Kelihatan tenang biarpun banyak kali menjadi ‘modal’ jenaka regu hos (Nabil), Elly berasa sangat gementar, malah berasa hendak pitam ketika diberikan tugas mengacara GV9 memandangkan jenama itu sendiri sudah terlalu besar serta berat tanggungjawabnya.

ELLY MAZLEIN menganggap bidang pengacaraan sebagai periuk nasinya untuk terus relevan dalam dunia hiburan dan sesekali tidak akan bersikap ala kadar dalam mana-mana program.

“Memang gementar sampai nak pitam. Saya ambil tempat orang yang mana ‘DNA’ GV ini.

“Orang tahu macam mana Nabil dan Jihan serta produksi program ini. Saya seperti jiran yang nak masuk rumah baharu.

“Jadi, saya nekad buat cara sendiri, turuti kemahuan GV. Satu hal yang membantu juga adalah saya kenal semua bintang yang bertanding. Jadi saya nak usik-usik pun tak malu.

“Saya pun masih bertatih dan paling risau penerimaan penonton. Oleh itu, saya buat saja yang terbaik. Itu pun periuk nasi saya. Takkan saya nak buat ala kadar,” katanya.

Paling ditakuti pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu, dia enggan dilabel sebagai ‘perampas’ kedudukan pengacara asal, Jihan yang telah lapan musim bersama GV.

“Janganlah cakap saya ambil alih tempat Jihan. Saya bukan hendak gantikan sesiapa. Tapi walau bagaimanapun, saya tetap perlu meneruskan perjuangan dan amanah (sebagai pengacara) yang telah diberikan pihak produksi,” ujarnya.

Masam muka

Sekadar mengimbas kisah lalu, Elly yang juga bekas peserta GV3 mempunyai sejarah ‘hitam’ tersendiri apabila pernah berkecil hati dengan juri tetap iaitu maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS.

Akibat terasa hati dengan komen yang diberikan kepadanya, Elly memutuskan untuk menarik diri daripada pertandingan tersebut pada minggu kelima.

Selepas enam tahun berlalu, Elly mengakui, hubungannya dengan Ramli MS kini sudah kembali jernih selepas masing-masing saling bermaaf-maafan.

BIARPUN sibuk dengan komitmen sebagai artis, ibu kepada dua orang cahaya mata ini masih menjadikan keluarga sebagai keutamaan dalam hidupnya.

“Itu adalah kisah lama. Alhamdulillah hubungan saya dengan Tok Ram (panggilan untuk Ramli) baik-baik sahaja. Sampai bila kami hendak bermasam muka? Semua masalah ada jalan penyelesaiannya.

“Lagipun isu yang berlaku itu bukanlah serius sangat. Apa-apa pun kita yang muda ini harus minta maaf dahulu. Itu yang saya lakukan.

“Kini saya dengan Tok Ram sangat baik dan sudah boleh bergurau-gurau,” katanya.

Keluarga

Biarpun sibuk dengan sayap baharu sebagai pengacara, pelantun yang popular menerusi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu tetap meneruskan aktiviti lain dan tidak pernah mengenepikan kerja lakonan.

“Saya masih terima tawaran pekerjaan lain seperti berlakon dan sedang menjalani penggambaran untuk drama Kampung People musim baharu.

“Walaupun sibuk, saya kena bijak susun masa untuk kerjaya, suami dan anak-anak,” katanya.
Elly bersyukur apabila suaminya, Mohamad Azlan Che Nuh memahami kerjayanya sebagai selebriti bukan sahaja sebagai penyanyi, bahkan pelakon dan pengacara.

NAMA Elly Mazlein menjadi ‘trending’ dalam media sosial berikutan aksi pengacaraannya begitu mencuit hati.

“Suami sangat memahami kerjaya saya sebagai artis dan memberi keizinan kepada saya untuk bekerja.

“Tapi apa pun, keluarga masih menjadi keutamaan saya,” jelasnya menutup kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN