fbpx
PESAKIT buah pinggang yang menjalani hemodialisis perlu meluangkan masa selama empat jam di pusat hemodialisis, tiga kali seminggu. – GAMBAR HIASAN

Derma buah pinggang beri harapan pesakit hidup lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh Dr. Wong Hin Seng

APABILA menyentuh tentang penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD), pilihan rawatan alternatif yang baik adalah transplan organ berkenaan.

Ia merupakan penawar efektif dan meningkatkan peluang pesakit untuk hidup lebih panjang, di samping membantu mengurangkan perbelanjaan perubatan dalam jangka panjang.

Bagi pesakit ESKD, mereka berdepan kebarangkalian kedua-dua buah pinggang gagal berfungsi untuk menyingkirkan bahan buangan dan cecair berlebihan dari tubuh.

Justeru rawatan dialisis, sama ada hemodialisis atau peritoneal dialisis, ditetapkan untuk menjalankan fungsi-fungsi ini secara artifisial.

Walaupun dialisis merupakan rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa, ia tidak dapat menggantikan sepenuhnya fungsi walau salah satu daripada buah pinggang pesakit.

Keadaan itu sebenarnya mendedahkan pesakit kepada pelbagai komplikasi kesihatan akibat ESKD dan rawatan dialisis itu sendiri.

Ia seperti keletihan, kekejangan otot, anemia, penyakit tulang renal dan penyakit jantung.

Malah, hanya 52 peratus daripada pesakit di Malaysia yang menjalani rawatan dialisis masih hidup selepas lima tahun memulakan rawatan itu.

Sebaliknya, jangka hayat melebihi lima tahun bagi pesakit yang menjalani transplan buah pinggang adalah setinggi 90 peratus.

Kualiti hidup pesakit ESKD yang menjalani rawatan dialisis selepas menerima transplan buah pinggang juga meningkat.

Ini kerana, buah pinggang yang didermakan mampu menggantikan organ itu yang tidak lagi berfungsi.

Manfaat yang paling ketara adalah pesakit (dan keluarga mereka) tidak perlu lagi merancang kehidupan mereka berdasarkan jadual dialisis.

Bagi pesakit yang menjalani hemodialisis, mereka perlu meluangkan masa selama empat jam di pusat hemodialisis, tiga kali seminggu.


KINI terdapat 10,278 pesakit ESKD yang masih menunggu transplan buah pinggang. – GAMBAR HIASAN

Bagi mereka yang menjalani dialisis peritoneal ambulatori berterusan, perlu menjalani proses dialisis empat kali sehari selama 30 hingga 40 minit setiap sesi.

Malah, bagi pesakit yang menjalani dialisis peritoneal automatik yang mungkin menawarkan fleksibiliti paling tinggi berbanding pilihan dialisis lain, mereka masih perlu menjalani prosedur tersebut selama lapan hingga 10 jam setiap hari, biasanya semasa tidur pada waktu malam.

Pemindahan buah pinggang juga membantu pesakit tidak perlu memberikan komitmen dari segi masa.

Sebaliknya, pesakit yang menerima buah pinggang yang didermakan hanya perlu mengambil ubat-ubatan imunosupresan sepanjang hayat.

Ini bagi memastikan tubuh mereka tidak menolak buah pinggang yang didermakan.
Dialisis adalah rawatan sepanjang hayat dan boleh melibatkan kos tinggi dalam jangka panjang.

Menurut satu kajian, kos tahunan bagi seorang pesakit hemodialisis adalah RM39,790, manakala kos seorang pesakit yang menjalani dialisis peritoneal ambulatori, RM37,576.

Sebanyak 67.1 peratus pesakit dialisis ditaja oleh kerajaan, 14.9 peratus membiayainya sendiri, manakala selebihnya dibiayai badan kebajikan (13.2 peratus), majikan (1.3 peratus), insurans (0.5 peratus) dan sumber-sumber lain.

Sebaliknya, perkhidmatan transplan yang disediakan oleh hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang, Selangor menerima subsidi yang tinggi.

Pesakit yang menjalani pembedahan pemindahan hanya membayar RM1,000 untuk keseluruhan prosedur dan turut diberikan ubat imunosupresan yang mahal sepanjang hayat secara percuma.

Sementara itu, perkhidmatan transplan dan ubat-ubatan di hospital-hospital Kementerian Pendidikan, seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya di Kuala Lumpur, cuma menerima subsidi separa.

Bil hospital untuk transplan pula dianggarkan antara RM50,000 hingga RM 60,000.

Bagi pesakit yang menjalani transplan di hospital swasta perlu membayar antara RM 70,000 hingga RM100,000 untuk pembedahan ke atas penerima, selain RM40,000 hingga RM60,000 untuk pembedahan penderma.

Majoriti organ hanya boleh diambil dari penderma yang sudah meninggal dunia, buah pinggang adalah salah satu daripada dua organ yang boleh didermakan oleh mereka masih hidup selain hati.

Ini penting buat pesakit ESKD kerana jumlah penderma organ yang meninggal dunia amat sedikit di Malaysia.

Berdasarkan pangkalan data MyKAS (Sistem Peruntukan Buah Pinggang Malaysia), terdapat 10,278 pesakit ESKD yang masih menunggu transplan buah pinggang.

Bagaimanapun, hanya 20 hingga 40 transplan buah pinggang melibatkan penderma yang sudah meninggal dunia dijalankan setiap tahun, kira-kira seorang dalam sejuta populasi.

Namun, penderma masih hidup hanya boleh mendermakan salah satu buah pinggang kepada pasangan, saudara tahap pertama atau tahap kedua.

Saudara tahap pertama adalah ibu bapa, anak, atau adik beradik kandung.

Saudara tahap kedua pula, datuk, nenek, cucu, ibu atau bapa saudara, anak saudara atau adik beradik tiri.

Secara keseluruhannya, adalah lebih baik untuk pesakit menerima organ daripada penderma masih hidup yang telah menjalani penilaian untuk menentukan kesesuaian dan tahap kesihatan sebelum prosedur.

Ini kerana, buah pinggang dari penderma yang meninggal dunia diambil dan disimpan di dalam ais (selama beberapa jam) sebelum dipindahkan ke tubuh penerima.

Selain itu, penderma meninggal dunia berkemungkinan mengalami kecederaan buah pinggang sebelum pengambilan organ.

Pesakit ESKD yang menerima buah pinggang yang didermakan mempunyai peluang lebih baik untuk hidup lebih lama, berbanding pesakit yang meneruskan dialisis.
—————————————————————————————————————————-
Dr. Wong Hin Seng ialah Pakar Perunding Kanan Nefrologi dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal di Hospital Selayang, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN