fbpx
Gambar hiasan.

Tekong darat serang anggota PGA guna parang maut ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS – Tindakan seorang tekong darat menyerang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 dengan parang berakhir dengan dia mati ditembak di Jeram Perdah di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 1.04 pagi itu, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an bertindak di luar jangkaan semasa anggota PGA mengawal sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum itu, anggota PGA ternampak kelibat sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini secara haram.

Semasa cuba menahan suspek, lelaki itu berlari ke arah anggota itu untuk menyerangnya sambil memegang parang.

“Anggota itu melepaskan satu das tembakan ke arah bahu kiri suspek untuk mempertahankan diri.

“Pemeriksaan mendapati suspek masih bernyawa dan sebilah parang turut ditemui bersamanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas di sini untuk mendapatkan rawatan, namun suspek disahkan meninggal dunia pada pukul 2.12 pagi.

Pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak mempunyai parut suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) berkemungkinan bukan rakyat tempatan.

“Suspek dipercayai bertindak sebagai tekong darat yang menyeludup masuk PATI sebelum dibawa ke lokasi persembunyian.

“Dalam operasi itu, PGA menangkap tujuh PATI warga Myanmar termasuk dua wanita di lokasi kejadian. Turut dirampas sepucuk pistol Styer bersama peluru dan sebilah parang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 , Seksyen 55 E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

POPULAR