fbpx

KPDNHEP sita minyak diesel bersubsidi diseleweng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa KPDNHEP memeriksa minyak diesel subsidi diseleweng yang disita dalam serbuan di Seremban semalam.

SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan telah menyita sebanyak 7,500 liter minyak diesel subsidi dengan nilai sebanyak RM16,125 bagi tujuan siasatan selepas satu sindiket penyelewengan barangan kawalan tersebut ditumpaskan semalam.

Pengarah KPDNHEP negeri, Muhammad Zahir Mazlan berkata, tumpasnya sindiket berkenaan menerusi serbuan yang dilakukan oleh anggota penguatkuasanya bersama-sama anggota polis dari Bukit Aman di sebuah premis di Jalan Dato Bandar Tunggal di sini pada pukul 1 pagi semalam.

“Pada hari yang sama juga, KPDNHEP Negeri Sembilan turut menerima serahan kes membabitkan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

“Menerusi dua tindakan kes ini, dianggarkan sebanyak 7,500 liter minyak diesel telah disita untuk tujuan siasatan dengan nilai rampasan sebanyak RM 16,125.

“Turut disita tiga buah lori serta peralatan-peralatan yang digunakan di tempat serbuan seperti seperti tangki IBC dan anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua kes adalah RM68,500.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek yang ditemui di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang lesen atau permit khas atau surat kebenaran dari pengawal bekalan bagi berurusan dengan Barangan Kawalan Berjadual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Zahir, tangkapan bagi kes tersebut melibatkan dua orang lelaki warganegara tempatan masing-masing berumur 26 dan 27 tahun.

“Kedua-duanya ditahan bagi keperluan siasatan lanjut. Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI