TUMPAT – Akaun Facebook seorang ejen jualan kosmetik dikenali sebagai Azi, 36, yang diculik tiga lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal di sini minggu lalu sudah dinyah aktif sejak kelmarin.
Kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, Facebook atas nama Rosnazirah Nain itu merupakan akaun milik Azi dan telah dinyahaktifkan selepas menerima komen-komen berbaur lucah selain kecaman daripada orang ramai.
Menurutnya, keluarga telah meminta bantuan polis untuk menyahaktifkan akaun tersebut selepas mereka tidak sanggup membaca komen-komen di Facebook itu.
“Tidak cukup dengan komen-komen negatif, ramai juga yang menjadikan kejadian menimpa Azi sebagai kandungan video di TikTok, Instagram dan aplikasi media sosial lain.

“Sejujurnya, semua ahli keluarga tersinggung dan tertekan dengan komen-komen itu.
“Kami menangis membaca komen-komen netizen di Facebook milik Azi. Jangan kecam Azie kerana dia tidak bersalah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut wanita itu, anak tunggal Azi turut mengikuti rapat perkembangan penculikan ibunya di media arus perdana dan media sosial.
Justeru katanya, komen-komen negatif terhadap wanita itu sedikit sebanyak telah menganggu emosi kanak-kanak itu.
Terdahulu, pihak berkuasa Thailand telah menyerbu dua buah rumah di tepi Sungai Golok, dipercayai menjadi lokasi seorang ejen kosmetik wanita disembunyikan selepas dilarikan dari rumahnya di Wakaf Bharu, Tumpat Selasa lalu.
Berita berkaitan: Ejen kosmetik diculik lelaki bersenjata mungkin dibawa ke Siam
Berita berkaitan: Apa dosa anak saya sampai diculik
Bagaimanapun, kedua-dua buah rumah itu tiada penghuni semasa serbuan dijalankan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perselisihan faham antara suami mangsa dengan ahli sindiket dadah yang turut disertainya dipercayai menjadi punca wanita itu diculik.
Katanya, sehubungan itu, polis telah menahan tiga suspek termasuk suami mangsa yang berusia 36 tahun dan seorang wanita semasa mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat dekat sini pada Rabu lalu.














