fbpx

Jutawan dunia semakin bertambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengasas Tesla dan SpaceX, Elon Musk dari AS ialah individu terkaya dunia setakat September tahun ini dengan nilai bersih kekayaan sebanyak AS$273.2 bilion (RM1.2 trilion). - Fox News

ZURICH – Sebuah bank pelaburan yang berpangkalan di Switzerland, Credit Suisse melaporkan bilangan individu dengan ‘nilai bersih ultra tinggi’ (UHNW) tahun lalu meningkat kepada 218,200 orang, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Credit Suisse adalah firma kewangan antarabangsa yang bertanggungjawab membantu menguruskan kekayaan individu terkaya dunia.

Jumlah tersebut adalah peningkatan sebanyak 46,000 berbanding tahun sebelumnya apabila orang terkaya dunia mendapat manfaat daripada ‘ledakan kekayaan’ semasa pemulihan daripada pandemik Covid-19.

Bilangan individu UHNW, atau mereka yang mempunyai aset melebihi AS$50 juta (RM228 juta) melonjak pada 2021 apabila golongan kaya-raya mendapat manfaat daripada harga rumah yang melambung tinggi dan pasaran saham yang berkembang pesat.

Jumlah individu UHNW telah meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh dua tahun lalu.

Peningkatan besar dalam kekayaan 0.00004 peratus penduduk dewasa terkaya di dunia itu berlaku apabila berbilion-bilion orang berpendapatan rendah dan sederhana kehilangan sebahagian besar simpanan kecemasan mereka akibat inflasi serta kenaikan harga barangan asas.

“Peningkatan ketara dalam aset kewangan mengakibatkan kenaikan dalam ketidaksamaan pada 2021.

“Ia mungkin disebabkan oleh lonjakan nilai aset kewangan semasa pandemik Covid-19,” tulis laporan tersebut.

Sementara itu, profesor ekonomi dan pengarang laporan tersebut, Anthony Shorrocks berkata,  lonjakan kekayaan yang dicatat pada tahun lepas mungkin adalah yang paling tinggi pernah direkodkan.

Bilangan jutawan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.2 juta pada 2021 kepada 62.5 juta orang, yang hampir menyamai jumlah populasi di Britain iaitu 67 juta penduduk.

Shorrocks berkata, bilangan jutawan semakin ramai sehingga ia menjadi ukuran kekayaan yang semakin tidak relevan.

Lebih satu pertiga daripada jutawan dunia menetap di Amerika Syarikat (AS), yang menempatkan 24.5 juta orang atau 39 peratus daripada jumlah keseluruhan di seluruh dunia.

“Ini merupakan peningkatan terbesar dalam bilangan jutawan yang direkodkan bagi mana-mana negara dalam mana-mana tahun pada abad ini dan mengukuhkan peningkatan pesat dalam bilangan jutawan yang dilihat di AS sejak 2016,” kata laporan itu.

Selain AS, China berada di tempat kedua dengan 10 peratus jutawan dunia, diikuti dengan Jepun sebanyak 5.4 peratus, Britain (4.6 peratus) dan Perancis (4.5 peratus). – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI