fbpx

Wanita OKU raih RM50 sehari jual gula kapas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR SU’AIDAH (kanan) menggunakan kerusi roda untuk bergerak ketika berniaga gula kapas dan dadih di Pasar Malam Bukit Keluang, Kemaman baru-baru ini.

KEMAMAN – Keadaan yang semakin uzur dan hilang keupayaan untuk bergerak sedikitpun tidak menjadi alasan buat seorang wanita yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) untuk membantu suami berniaga demi kelangsungan hidup keluarga.

Nur Su’aidah Mohd. Jaafar, 34, yang lumpuh akibat mengidap penyakit saraf kronik Multiple Sclerosis bersama suaminya, Zulkefli Yunus, 44, kini mencari rezeki dengan menjual gula kapas dan dadih di pasar-pasar malam sekitar daerah ini sejak tujuh tahun lalu.

“Kami berniaga gula kapas dan dadih selepas suami yang sebelum ini merupakan pengawal keselamatan dibuang kerja ke­rana kerap bercuti untuk menghantar saya menerima rawatan ke hospital.

“Demi sesuap nasi, kami cuba berniaga demi membesarkan anak perempuan tunggal kami,” katanya ketika ditemui di Pasar Malam Bukit Keluang di sini baru-baru ini.

Nur Su’aidah yang lumpuh sejak berusia 17 tahun berkata, pendapatan mereka berniaga gula kapas dan dadih tidaklah banyak iaitu sekitar RM50 sehari.

Begitupun katanya, hanya pekerjaan itu yang mampu mereka lakukan untuk mencari rezeki memandangkan dia sendiri memerlukan bantuan suaminya untuk bergerak dan mengurus diri.

“Kudrat saya makin lama ma­kin terbatas dengan kini hanya anggota badan kanan yang berfungsi termasuk penglihatan.

“Saya juga terpaksa bergantung kepada tiub dan lampin pakai buang untuk membuang air kecil dan besar selain hanya minum susu khas,” katanya.

Nur Su’aidah berkata, dia tetap bersyukur apabila menerima bantuan susu khas daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan elaun pekerja cacat Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan.

“Kalau ikutkan memang tidak mencukupi kerana kami juga bergantung kepada jualan harian di pasar malam,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Nur Su’aidah 13026020451581 (Bank Islam) atau boleh menghubungi­nya di talian 013-9313782.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI