fbpx
PENDUDUK Yemen yang menjadi pelarian akibat konflik menerima bantuan makanan dan bekalan asas lain di sebuah kem di Hodeida pada 31 Ogos lalu. - AFP

Seorang penduduk dunia di ambang kematian akibat kelaparan setiap 4 saat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA, Switzerland – Seorang penduduk dunia berada di ambang kematian akibat kelaparan dalam tempoh setiap empat saat, kata 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam  amaran mereka hari ini dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak untuk mengakhiri krisis kelaparan global. 

Dalam surat terbuka ditujukan kepada pemimpin dunia sempena  Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, 238 organisasi dari 75 negara, termasuk Oxfam, Save the Children dan Plan International menzahirkan kemarahan terhadap skala kelaparan yang melonjak.

“Seramai 345 juta orang kini menderita kelaparan yang teruk. Jumlah tersebut meningkat lebih dua kali ganda sejak 2019,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

“Di sebalik janji pemimpin-pemimpin dunia untuk tidak membenarkan kebuluran berlaku lagi pada abad ke-21, ia  sekali lagi berlaku di Somalia. Di seluruh dunia, 50 juta orang berada di ambang kebuluran di 45 negara,” tambah kenyataan sama.

Menurut perikatan NGO tersebut, seramai 19,700 orang di ambang kematian akibat kelaparan setiap hari atau bersamaan seorang mati kelaparan selang empat saat.

“Adalah tidak munasabah dengan semua teknologi  pertanian dan teknik penuaian moden yang ada hari ini,  kita masih berdepan krisis kebuluran pada abad ke-21,” kata Mohanna Ahmed Ali Eljabaly daripada  Persatuan Penjagaan Keluarga Yemen. Beliau adalah salah seorang aktivis yang menandatangani kenyataan itu.

“Ini bukannya  tentang satu negara atau satu benua sahaja, manaka kelaparan tidak hanya mempunyai satu punca. Ini adalah tentang ketidakadilan seluruh umat manusia.

“Kita tidak boleh menunggu lebih lama untuk memberi tumpuan kepada penyediaan makanan segera yang dapat menyelamatkan nyawa dan memberikan sokongan jangka panjang supaya orang ramai boleh mengawal masa depan dan menyara diri dan keluarga mereka,” tambahnya. – AFP 

POPULAR