fbpx

Mahkamah: SM Faisal saman Caprice isu kes Emilia Hanafi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Caprice (kanan) disaman berhubung hantaran berbaur fitnah.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal memfailkan saman terhadap penyanyi rap Caprice berhubung hantaran berbaur fitnah yang dibuat selebiriti itu di laman Instagramnya mengenai kes Emilia Hanafi.

SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos lalu dengan menamakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, sebagai defendan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, SM Faisal berkata, pada 27 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Emilia, 43, yang juga bekas isterinya menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Plaintif mendakwa insiden itu kemudian dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat mala fide (niat jahat) tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif.

Kata plaintif, sehari selepas itu, defendan dengan niat sama turut mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video atau hantaran melalui Instagramnya pada 28 Jun lalu.

Berita berkaitan: [VIDEO] Bekas isteri SM Faisal jalani hukuman 7 hari di Penjara Wanita Kajang

“Posting (hantaran) itu mendapat publisiti meluas kerana defendan mempunyai lebih kurang 1.5 juta pengikut di Instagramnya. Bahkan sehingga tarikh pemfailan tindakan (saman) ini di mahkamah, posting fitnah tersebut dilihat atau mendapat ‘like’ daripada 14,500 orang,” kata plaintif.

Ujar plaintif, tindakan defendan itu menyebabkannya berasa tertekan dari segi emosi selain cemuhan dan gangguan daripada pihak-pihak yang ada kaitan atau menyokong kempen untuk menjatuhkan plaintif.

Dalam pada itu, plaintif turut mendakwa hubungannya dan keluarga serta fokus kerjayanya juga terkesan dan terganggu.

Plaintif menyatakan hantaran fitnah yang dimuat naik defendan secara tersurat dan tersirat memberi maksud bahawa plaintif seorang lelaki yang kejam, disamakan dengan orang Yahudi serta ayah zalim atau jahat kepada anak-anaknya.

Pernyataan saman itu turut menyebut hantaran fitnah itu mengakibatkan plaintif mengalami keaiban, penghinaan, cemuhan, tohmahan, cacian, ejekan atau kebencian dalam kalangan masyarakat.

Berikutan itu, plaintif melalui peguamnya menghantar surat tuntutan bertarikh 7 Julai 2022 berkenaan hantaran fitnah tersebut yang mana antara lain menuntut penarikan balik, permohonan maaf, namun defendan gagal menenuhi tuntutan plaintif.

Justeru plaintif memohon suatu perintah injunksi mandatori terhadap defendan untuk mengeluarkan atau memadamkan hantaran fitnah tersebut yang diterbitkan, dimuat naik, disebarkan atau disiarkan yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif.

Selain itu, plaintif turut menuntut suatu injunksi kekal menghalang defendan sama ada oleh dirinya sendiri, sekutunya, ejennya atau sesiapa sahaja daripada memuat naik, menyebarkan, menyiarkan,menerbitkan, mengedarkan atau menghebahkan dengan apa cara sekalipun.

“Suatu permohonan maaf awam yang tanpa ragu (unequivocal) daripada defendan kepada plaintif dimuat naik, disiarkan , diterbitkan , diedarkan dan dihebahkan pada laman-laman media sosial termasuk tetapi tidak terhad kepada Instagram atau Facebook milik defendan,” kata SM Faisal.

Selain itu, antara yang dituntut ialah kos, ganti rugi am, ganti rugi punitif (punitive damages), ganti rugi teladan (exemplary damages), ganti rugi teruk (aggravated damages) dan lain-lain relief yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam yang mewakili SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi mengesahkan pemfailan saman tersebut terhadap Caprice.

“Tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 14 Oktober ini,” katanya selepas pengurusan kes saman di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil, Idah Ismail. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI