fbpx
Abdul Rozak (kanan) memeriksa sebahagian barangan yang dipercayai dicuri Geng Alif Buntal pada sidang akhbar di IPD besut hari ini.

Lari pengawasan parol sertai geng pecah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT – Geng Alif Buntal yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan mencuri motosikal di daerah ini ditumpaskan polis kelmarin.

Kegiatan kumpulan itu terbongkar dengan penahanan seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai ahli geng itu di sebuah pasar borong di daerah ini pada pukul 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati Geng Alif Buntal terlibat sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah dan enam kes curi motosikal di sekitar daerah ini.

“Lelaki itu memiliki 11 rekod jenayah dan sedang menjalani proses pengawasan parol di Damansara, Selangor, tetapi melarikan diri.

“Sepanjang tempoh melarikan diri itu, suspek yang sepatutnya tamat parol bulan depan membentuk kumpulan jenayah terbabit bersama dua lelaki lain yang masih bebas,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, siasatan mendapati modus operandi Geng Alif Buntal adalah menyasarkan rumah tidak penghuni. Mereka membuka pintu rumah menggunakan pemutar skru.

“Setakat ini, polis menjumpai semula sebahagian barangan dicuri iaitu enam motosikal, komputer riba dan telefon bimbit bernilai RM25,000.

“Dua lagi lelaki dikenali sebagai Mat Chah dan Mat Daha sedang dicari bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR