fbpx
Ramai rakyat Malaysia terkandas di luar negara selepas diperdaya sindiket mencari pekerjaan.

Dipaksa bayar RM120,000 jika mahu balik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Ramai keluarga mangsa pemerdagangan manusia kini buntu memikirkan cara untuk menyelamatkan anak mereka yang terperangkap di Myanmar, Laos dan Kemboja selepas menjadi mangsa kepada sindiket penipuan pekerjaan.

Mangsa atau keluarga mereka telah dipaksa membayar pampasan sehingga RM120,000 kepada sindiket terbabit jika mahu dilepaskan atau dihantar pulang ke Malaysia.

Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Tan, 56, merayu kepada kerajaan supaya membawa pulang segera dua anak lelakinya yang berusia 16 dan 30 tahun yang sedang diseksa di Myan­mar.

Tan dari Wangsa Permai, Kuala Lumpur memberitahu, kedua-dua anaknya dipercayai telah dikurung dan tidak diberi makan selama beberapa hari di KK Garden, Myanmar.

“Sepatutnya mereka bekerja sebagai waiter di Thailand, tetapi telah diseludup masuk ke KK Garden,” katanya kepada Kosmo! di hadapan Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Berdasarkan carian di laman Google, KK Garden di daerah Lashio di utara Myanmar itu dipercayai menjadi lokasi aktiviti pemerdagangan manusia yang mana organ-organ mangsa akan dijual kepada rangkaian antarabangsa melalui saluran tertentu.

Terdahulu, beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri untuk mendesak kerajaan campur tangan dalam menyelesaikan isu sindiket peni­puan pekerjaan yang melibatkan rakyat Malaysia di Myanmar, Laos dan Kemboja.

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Khaizulnizam Mohamad Zuldin.

Sementara itu, seorang lagi ibu buntu memikirkan nasib anak lelakinya yang terkandas di Myanmar sejak sebulan lalu gara-gara terpengaruh dengan ajakan rakan untuk mencari pekerjaan di negara tersebut.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mei Mei, anak sulungnya yang berusia 30-an itu menghidap penyakit mental sejak beberapa tahun lalu dan perlu mengambil ubat yang telah dibekalkan oleh pihak hospital.

“Anak saya sebelum ini bekerja di sebuah kedai snuker di Alor Setar, Kedah, tetapi sekitar sebulan yang lalu, dia beritahu mahu pergi ke Myanmar untuk bekerja sebagai customer service selepas diajak oleh rakan.

“Saya sudah larang dan pujuk dia supaya tidak pergi kerana dia perlu makan ubat ikut jadual. Saya risau jika dia tidak makan ubat akan terjadi sesuatu yang buruk, namun dia tetap degil walaupun tidak mempunyai pasport,” ujarnya.

Mei Mei berkata, anaknya dibawa masuk ke Myanmar me­lalui jalan tikus dari Thailand dan telah dikurung di satu lokasi.

“Dia hanya curi-curi hubungi saya selepas telefonnya dirampas oleh ejen. Saya turut diberi­tahu kalau anak saya mahu pulang ke Malaysia, saya perlu bayar sebanyak RM120,000 kepada sindiket terbabit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN