fbpx

Sukma 2022: Siti Natasha kembali gegar BMX

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NATASHA (tengah) menebus semula kegagalannya pada Sukma Perak sebelum ini apabila meraih emas dalam acara 350m pada temasya kali ini.

NILAI – Berdepan kemalangan ngeri pada Sukan Malaysia di Perak empat tahun lalu tidak memadam semangat atlet Selangor, Siti Natasha Mohd. Basri selepas meraih pingat emas dalam acara 350 meter (m) BMX semalam.

Pelumba berusia 22 tahun tersebut mengalami kemalangan pada perlumbaan saringan di Perak sehingga menyebabkan dirinya mengalami kecederaan konkusi sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. 

Begitupun, Siti Natasha tampil dengan prestasi terbaik apabila kembali meraih emas selepas kali terakhir meraihnya di Sarawak 2016 di Arena BMX Nasional semalam.

“Kali terakhir saya dapat emas di Sukma Sarawak. Di Sukma Perak, saya terjatuh dan pada penampilan terakhir saya ini memang saya nak bangkit dapatkan emas semula. 

“Syukur Alhamdulillah hari ini Allah bagi rezeki itu, berkat daripada doa semua termasuk pasukan untuk dapatkan emas ini. 

“Ini adalah penampilan terakhir saya dan sudah tentu saya nak berikan yang terbaik untuk Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Natasha ketika ditemui mahu mendidikasikan kilauan pingat itu kepada arwah bapanya.

“Macam-macam pengorbanan dibuat arwah. Ayah banyak memberikan dorongan kepada saya dalam sukan ini. 

“Dia membelikan peralatan semua kerana mahu anaknya berjaya,” katanya yang akan kembali berentap dalam acara ‘downhill’ bermula Khamis ini di Taman Cabaran Putrajaya. 

Siti Natasha mencatat masa terpantas 33.859 saat (s) untuk meraih emas, manakala atlet Terengganu, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin meraih perak, 34.303s. Gangsa diraih rakan senegeri Eddyna, Siti Nurliana Muhamad Nazri, 34.849s. 

Dalam pada itu, pasukan Terengganu turut meraih emas dalam acara lelaki menerusi Saniy Syahmi Mohd Safiee yang mencatat 29.76s. Perak dimenangi rakan senegeri, Amer Akbar Anuar, 30.181s manakala gangsa diraih atlet Johor, Syed Irfan Danish Syed Anuar, 31.186s. – KOSMO! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI