fbpx

Sukma 2022: Arsyad pasang ‘turbo’ genggam emas 200m

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARSYAD (kanan) memiliki kelebihan 0.01s untuk mengatasi Azeem bagi meraih pingat emas acara 200m semalam. – AMIR KHALID

KEBANGKITAN pada 10 meter (m) terakhir ternyata memboleh­kan atlet Johor, Muhammad Arsyad Md. Saat menuai hasil cemerlang apabila memenangi pingat emas acara 200m Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Apa tidaknya, Arsyad berjaya mengatasi raja pecut Sukma 2022 dari Perak, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi dengan kelebihan 0.01 saat (s) untuk memenangi aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu dengan catatan masa 21.02s.

Lebih manis, catatan itu hanya kurang 0.01s dengan rekod 200m temasya yang sebelum ini dicipta oleh Muhammad Aqil Yasmin iaitu 21.01s ketika Sukma 2018 di Ipoh, Perak.

“Kemenangan ini sangat bermakna. Saya hadiahkan kejayaan ini kepada ayah saya (Md. Saat Jaafar) yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-59 hari ini,” kata Arsyad.

Bagaimanapun, ia masih belum cukup untuk memadam rekod 200m kebangsaan iaitu 20.77s dilakukan Russel Alexander Nasir Taib pada Queensland Track Classic di Brisbane, Australia pada 2019.

Azeem yang terdahulu menjuarai 100m, terpaksa akur dengan pingat perak menerusi catatan masa 21.03, manakala Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan di tempat ketiga (21.18s).

Pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s itu dilihat memperlahankan la­riannya lebih kurang 10m ter­akhir mungkin kerana mengalami masalah hamstring.

Bagi Arsyad, kejayaan itu menebus kekecewaannya selepas meraih pingat perak 100m de­ngan catatan 10.46s apabila tewas kepada Azeem Jumaat lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI