fbpx

Harimau Malaya janjikan kebangkitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON percaya perlawanan di gelanggang sendiri bakal memberikan kelebihan kepada skuad negara untuk bangkit menewaskan Oman.

KEKALAHAN 0-2 pada perlawanan pertama tidak ‘mematikan’ jiwa Harimau Malaya untuk bangkit dan cuba menewaskan Oman pada aksi timbal balik kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon bertegas anak buahnya sentiasa positif dan kini mengharapkan tuah Bukit Jalil untuk mengekalkan pasukan di landasan tepat bagi mengintai peluang ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan slot ke Piala Asia 2027.

“Selepas balik dari Oman, fokus kami adalah aspek pemulihan sebelum menghadapi perlawanan penting. Walaupun liga belum lagi bermula dan tidak cukup latihan, segala kesukaran itu tidak pernah hentikan kemahuan pemain untuk layak ke kelompok 18 terbaik.

“Sudah pasti sebagai pasukan yang lebih baik, Oman akan terus menyerang kami. Apa yang penting kami tidak akan berundur terutamanya apabila bermain di gelanggang sendiri.

“Keazaman pemain akan bawa pasukan lebih ke depan dan walaupun tidak boleh janjikan keputusan, paling penting adalah kami akan melawan. Kami belajar daripada kesilapan lalu, kalau dapat satu mata pun sudah bagus, kalau mampu raih tiga mata itu lebih baik,” katanya.

Untuk rekod, Harimau Malaya memulakan kempen Kumpulan D dengan langkah kanan apabila membenam Kyrgyzstan 4-3 di Bukit Jalil sebelum meneruskan rentak sama dengan menewaskan Taiwan 1-0 di Taipei.

Bagaimanapun kekalahan sulung Harimau Malaya, Jumaat lalu menyaksikan kedudukan Harimau Malaya kini jatuh ke tangga ketiga, namun hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan selepas berkongsi enam mata dengan Oman dan Kyrgyzstan.

Dalam pada itu, jurulatih dari Korea Selatan itu menuntut janji daripada pihak bertanggungjawab menguruskan kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kami mahu melawan dan berikan aksi yang mengujakan. Kami juga perlukan padang yang bagus. Saya belum lihat lagi (padang), tetapi mereka ada berjanji kepada saya yang padang akan berada dalam keadaan baik pada hari perlawanan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI