fbpx

Maut kemalangan selepas makan malam bersama rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa yang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian dekat Kota Bharu, tengah malam tadi. FOTO IHSAN POLIS

KOTA BHARU – Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini, semasa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan malam bersama rakannya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, mangsa, Ammar Azhar, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala dan dada.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda C70, manakala rakannya berusia 14 tahun pula menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Menurutnya, mereka berdua sedang dalam perjalanan dari arah persimpangan lampu isyarat Tok Kenali ke arah Binjai melalui Jalan Wakaf Stan di sini selepas makan malam di Kubang Kerian.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun yang berada di tepi jalan di laluan bertentangan secara tiba-tiba memasuki laluan utama secara mengejut.

“Insiden itu menyebabkan mangsa dan rakannya tidak sempat mengelak ekoran jarak yang terlalu dekat sebelum merempuh bahagian pintu hadapan sebelah kiri kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian dekat Kota Bharu tengah malam tadi. FOTO IHSAN POLIS

Menurut Mohd. Rosdi, kedua-dua remaja terjatuh dari motosikal masing-masing sebelum mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, rakan mangsa pula mengalami kecederaan parah apabila kedua-dua belah tangan dan pahanya patah sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati, kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang gagal memastikan keadaan selamat sebelum memasuki laluan utama untuk bergerak ke arah Binjai,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI