fbpx

Jika saya gagal maknanya MPN juga gagal – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2044 di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa sekiranya beliau didakwa gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik, maka kegagalan tersebut turut melibatkan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Perdana Menteri berkata, tanggungjawab dari segi pengurusan ekonomi merupakan tanggungjawab bersama, malah kerajaan juga menerima nasihat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan MPN sendiri.

“Tok Pa (Mustapa) ada dengan saya, kita juga ada MPN yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang turut memberi nasihat berkaitan ekonomi kepada pihak kerajaan.

“Jadi tanggungjawab itu tanggungjawab bersama, kalau gagal maknanya semua gagal lah termasuk MPN pun gagal juga lah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2044 di sini hari ini

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkongsian Muhyiddin di laman Facebook hari ini yang menyuarakan kebimbangan terhadap situasi ekonomi selain mendakwa Ismail Sabri tidak memandang isu tersebut sebagai sesuatu yang penting.

Menurut Ismail Sabri, beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak maklum mengenai perkongsian tersebut dan tidak tahu mengenainya secara terperinci.

“Saya pun tidak tahu apa cerita sebenar kerana belum baca lagi (perkongsian). Ini baru tahu jadi saya belum baca dengan terperinci lagi,” ujar beliau.

Terdahulu, Muhyiddin menerusi perkongsian tersebut menyifatkan ekonomi negara berada dalam keadaan tidak baik dan mendakwa Barisan Nasional kini sedang menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan.

“Mungkin kerana itulah hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri pada masa ini. Aspek pengurusan ekonomi negara mencatatkan prestasi terburuk dengan hanya 18 peratus berpuas hati.

“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen.
Tetapi saya pun terfikir, jika beliau terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri meminta agar diberi sedikit masa untuk perjumpaan bersama barisan Top 5 termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan tentang tarikh sesuai bagi mengadakan pilihan raya.

“Kita belum bincang lagi bersama Top 5, dan biasanya Top 5 akan berbincang sebelum Mesyuarat Tertinggi (MT). Tarikh MT ditetapkan pada 30 September ini, jadi mungkin petang itu kami akan berbincang.

“Saya mungkin juga bawa isu ini (pilihan raya) ke dalam Kabinet. Mungkin juga akan ada perbincangan tentang ekonomi kerana sudah ada sebut sama ada gagal atau berjaya, mungkin saya akan minta laporan daripada Tok Pa,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI