fbpx
Suke mempunyai 90 peratus jajarannya secara ‘elevated’ atau bertingkat dan selebihnya di atas tanah.

Hampir 100,000 kenderaan masuk Suke dalam tempoh 24 jam pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Hampir 100,000 kenderaan direkod menggunakan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) dalam tempoh 24 jam pertama selepas fasa pertama pembukaan lebuh raya berkenaan pada 16 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, sambutan yang diterima itu amat luar biasa dan menjangkaui sasaran purata trafik harian (ADT) Lebuh raya Suke untuk fasa pertama iaitu 80,000 kenderaan sehari.

“Kebanyakan pengguna terawal Lebuhraya Suke terdiri daripada penduduk sekitar yang mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman perjalanan di atas lebuh raya bertingkat terbaharu di Lembah Klang ini.

“Terima kasih buat pengguna Lebuhraya Suke atas sokongan dan maklum balas yang diberikan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, Prolintas mengambil maklum bahawa terdapat segelintir pengguna lebuh raya yang teruja dan berhenti di laluan kecemasan untuk merakam pemandangan di beberapa lokasi dalam Lebuh raya Suke.

“Kami melarang sama sekali pengguna daripada memberhentikan kenderaan di bahu jalan tanpa alasan kecemasan kerana perbuatan itu adalah amat berbahaya bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, malah pengguna lebuh raya lain.

“Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh Prolintas. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” tegasnya.

Katanya, beberapa lokasi panas telah dikenal pasti oleh bahagian operasi Lebuhraya Suke yang menjadi tumpuan pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya.

Justeru itu, kon-kon keselamatan telah ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membendung pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan.

“Unit Polis Bantuan Prolintas atau peronda Suke yang bertugas 24 jam juga melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi-lokasi panas itu.

“Papan tanda ‘Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan’ juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat,” tambahnya.

Selain itu, mesej sama akan dipaparkan pada Sistem Mesej Pelbagai (VMS) di sepanjang lebuh raya sebagai peringatan kepada pengguna. – KOSMO! ONLINE

POPULAR