fbpx
ZIHA SALLEH

Diam-diam Ziha Salleh tewaskan nama besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI Ziha Salleh akhirnya mampu mengukir kenangan manis sebagai anak seni selepas berjaya membawa pulang trofi Lagu Pop Etnik Terbaik menerusi karya berjudul Adat Kasih dalam Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23).

Selepas tujuh tahun berkecimpung dalam dunia seni, Ziha mengakui sudah melalui pelbagai cabaran untuk terus kekal berdiri dalam industri yang disifatkan sangat mencabar.

Biarpun namanya hampir tenggelam dengan pesaing-pesaing lain yang lebih menonjol, Ziha sedikit pun tidak pernah berkecil hati, jauh sekali untuk berhenti daripada terus berjuang sebagai anak seni.

Kata penyanyi berusia 28 tahun itu, tujuannya berada dalam industri bukan untuk meraih populariti, namun untuk memperjuangkan muzik yang menebal dalam jiwa terutama melodi berentak tradisional dan etnik.

“Sejak berada dalam program Akademi Fantasia 2014 (AF2014) lagi memang jiwa saya dekat dengan muzik bergenre tradisional dan etnik.

“Sehinggalah saya membuat kemunculan semula menerusi single Adat Kasih pada Januari lalu. Memang itulah konsep (etnik) yang saya mahukan selama ini,” katanya.

Ujar Ziha atau nama lengkapnya Nur Aziha Mohd. Salleh itu, dia tidak takut membawakan genre muzik yang bukan menjadi pilihan pendengar mahu memperjuangkan irama yang diminatinya.

ZIHA SALLEH sebenarnya lebih menyerlah dalam bidang lakonan berbanding nyanyian menerusi beberapa drama popular seperti Isteri Separuh Masa, Tundukkan Playboy Itu, Dia Semanis Honey dan Biar Aku Jadi Penunggu.

“Saya membesar di Johor Bahru dan merupakan seorang penari zapin. Jadi saya memang rindukan suasana tradisional.

“Ayah saya juga pernah kata, jika saya keluarkan lagu, dia mahu saya nyanyikan lagu-lagu bercirikan tradisional dan etnik.

“Insya-Allah, selepas ini saya akan teruskan usaha untuk keluar dengan karya lagu irama Malaysia dan etnik kreatif kerana dekat dengan jiwa saya,” katanya.
Ziha juga sudah bersedia menerima kritikan dan pertikaian netizen apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Pop Etnik Terbaik, malah dia juga tiada masalah untuk membaca segala komen netizen.

“Saya tiada masalah untuk membaca komen-komen netizen bagi memperbaiki diri menjadi lebih baik.

“Saya sudah lalui macam-macam perkara sepanjang tujuh tahun berkecimpung dalam industri seni. Jadi, mesti ada pertikaian netizen. Saya nak tahu apa kata netizen dan akan saya ambil sebagai pengajaran,” jelasnya.

Ditanya mengenai perasaannya selepas menewaskan beberapa penyanyi ternama seperti Anakanda nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kucuma (Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah), Intan Payung (Bunga & Noraniza Idris) dan Sang Purnama (Wany Hasrita & Wani Syaz), Ziha tidak pernah menjangka anugerah berkenaan akan menjadi miliknya.

“Apabila tercalon, saya tak harap menang kerana yang tersenarai semuanya hebat-hebat. Saya hanya menyampaikan lagu ciptaan Aubrey Suwito dan Tinta ini dengan sehabis baik.

“Saya terkejut dan bersyukur, tak sangka boleh meraih trofi ini dan menewaskan calon-calon lain yang berbakat,” katanya.

Selain kategori Lagu Pop Etnik Terbaik, Ziha turut membawa pulang trofi Kulit Single/Album terbaik menewaskan Salammusik (Borak), Amylea (Kendati), Razak A’ai () dan Dayang Nurfaizah (Belagu).

POPULAR