fbpx
YONNY mengakui belum bersedia untuk melalui pengalaman rasa rindu sekiranya berjauhan dengan isterinya.

Yonnyboii tak sanggup berjauhan dengan isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Walaupun sudah hampir setahun bergelar suami, penyanyi rap terkenal Yonnyboii mengakui tidak sanggup menanggung rasa rindu sekiranya berjauhan dengan isteri tercinta, Nik Nazira Narriman dalam tempoh yang lama.

Pemilik nama lengkap Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 24, itu berkata, sepanjang mendirikan rumah tangga bersama Nazira, mereka tidak pernah berjauhan apatah lagi merasai rindu antara satu sama lain.

Katanya, dia turut menganggap tempoh rumah tangganya masih dalam fasa berbulan madu.

“Setakat ini kami tak pernah berjauhan. Dia akan mengikut dan menemani ke setiap lokasi kerja saya. Saya juga melalukan hal sama terhadapnya.

“Bukan tak mahu berenggang tetapi belum bersedia untuk melalui rasa rindu terhadap pasangan. Kami selesa begini dan rumah tangga pun tak sampai setahun, saya anggap masih dalam tempoh berbulan madu,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Kongsi pelantun lagu Sakit itu, Nazira juga turut menerima tawaran berlakon dan sebagai suami, dia akan memberi sokongan penuh isterinya.

“Selain kerjanya sebagai pempengaruh media sosial, dia juga ada terima tawaran berlakon.

“Saya sokong kariernya dan bangga dengan setiap apa yang dilakukannya.

“Sebenarnya sebelum ini dia ada juga terima tawaran berlakon drama tetapi menolak kerana kami sama-sama tak mahu rasa rindu. Dia utamakan saya,” ujarnya.

Katanya lagi, rasa tidak mahu berenggang dengan isterinya juga kerana ingin menghabiskan masa sepenuhnya bersama sebelum kehadiran orang ketiga iaitu anak.

“Masih belum ada khabar gembira tetapi sebelum ada anak inilah, kami habiskan masa bersama, berkepit setiap masa.

“Soal anak, kami berserah dan jika ada rezeki, Alhamdulillah,” katanya lagi.

Terdahulu, Yonny dan Nazira mendirikan rumah tangga di sebuah premis perkahwinan di Ampang, Kuala Lumpur pada 20 November tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

POPULAR