fbpx

Samy Vellu bapa penyatuan masyarakat India – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster takziah Samy Vellu dimuat naik di laman sosial Ismail Sabri hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu sebagai seorang pejuang dan bapa penyatuan masyarakat India yang banyak menaburkan sumbangan kepada negara serta kaum mendiang sendiri.

Ismail Sabri berkata, banyak sumbangan ditaburkan Samy Vellu kepada negara dan masyarakat India khususnya seperti penubuhan MIED, Universiti Aimst dan Kolej Tafe yang banyak meningkatkan taraf kehidupan masyarakat itu di Malaysia.

“Pagi ini saya menerima berita sedih tentang pemergian Tun S. Samy Vellu, mantan Presiden MIC dan juga bekas Menteri Kabinet yang paling lama berkhidmat bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979-1989 dan 1995-2008.

“Mendiang juga menjadi Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos bermula 1989-1995. Mendiang banyak memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook di sini tadi.

Katanya, selain menjadi bapa penyatuan kaum India, Samy Vellu juga disifatkan sebagai mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya.

“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang. Jasa beliau akan terus dikenang,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Samy Vellu dilaporkan meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun.

Berita kematian mendiang dikongsikan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menerusi hantaran Facebook beliau pagi tadi.

Difahamkan, beliau meninggal dunia di kediamannya kira-kira pukul 8 pagi tadi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI