PETALING JAYA – Pihak berkuasa dijangka menyiasat tiga aspek penting bagi merungkai insiden sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B yang terhempas sehingga mengorbankan juruterbangnya di Hutan Simpan Chikus, Tapah pada 11 September lalu.
Pakar penerbangan, Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, siasatan yang dilakukan akan melibatkan aspek teknikal termasuk kali terakhir helikopter itu diselenggara serta pengubahsuaian yang telah dilakukan.
“Mereka akan turut menyiasat tentang juruterbang termasuk aspek kesihatan, rekod latihan dan penerbangan. Siasatan turut dilakukan terhadap faktor alam sekitar seperti keadaan cuaca dan jarak penglihatan semasa kejadian.
“Rekod perhubungan antara juruterbang dan pusat kawalan udara juga akan diperiksa sama ada juruterbang ada memaklumkan sebarang kecemasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan seorang juruterbang helikopter Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang dari radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang disahkan maut oleh pihak berkuasa.
Mangsa dikenali sebagai Kapten Tsz Kin Richard Chan, 58, yang merupakan warga Hong Kong ditemui pasukan penyelamat sekitar pukul 9.30 pagi kelmarin di lokasi nahas di Hutan Simpan Chikus.
Mayat juruterbang itu ditemui oleh pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM) di bahagian kokpit helikopter berkenaan sebelum berjaya dibawa keluar pada pukul 10.12 pagi.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan siasatan akan dijalankan berhubung tragedi helikopter terhempas tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo dipetik berkata, siasatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Dalam pada itu, Nik Ahmad Huzlan yang juga bekas Ketua Juruterbang Serantau Penerbangan Malaysia (MAS) menerangkan, sesebuah helikopter boleh terbang pada kelajuan 300 kilometer sejam, namun kebiasaannya helikopter paling laju diterbangkan pada 220 kilometer sejam.
Beliau menjangkakan helikopter jenis Eurocopter EC120B itu terhempas pada kelajuan yang rendah berdasarkan gambar keadaan helikopter tersebut di lokasi yang tidak bersepai.
“Tapi saya tidak boleh buat jangkaan berapa kelajuan semasa helikopter itu terhempas dan sama ada masih dalam kawalan seperti cuba mendarat atau di luar kawalan,” katanya.















