fbpx
Dr Mohd. Khairuddin.

Khairuddin minta pimpinan Pas, UMNO ingati Muafakat Nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali mengajak pemimpin Pas dan UMNO kembali mengukuhkan hubungan sempena ulang tahun ketiga penubuhan Muafakat Nasional (MN) yang jatuh pada hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya semalam, Khairuddin menyeru bendera MN dikibarkan sempena ulang tahun gagasan itu yang diraikan.

“Gencatan senjata oleh ahli dan pimpinan dua parti Melayu Islam terbesar Malaysia. Bicara muafakat yang perlu seiring dengan tindakan.

“Kalau tidak mampu bersama setidaknya bersilaturrahim dan mengikat tali persaudaraan (ukhuwah) sebagai saudara muslim dan ahli politik muslim. Siapa yang nak raikan?” katanya.

Terdahulu, pada 6 September lalu, bekas Ahli Jawatankuasa Pas itu turut mengingatkan kembali mengenai sejarah penubuhan MN dan suara akar umbi yang mahukan penyatuan UMNO dan Pas tidak wajar dipinggirkan.

“Suara mahukan kesatuan dan perpaduan antara Pas dan UMNO berkumandang di Muktamar Pas khususnya sebagai strategi untuk menang bersama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Itulah suara akar umbi dan ahli bawahan. Itulah permintaan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Melaka dan Johor.

“Namun ia agak terlewat di saat UMNO, BN telah buat keputusan untuk bergerak sendiri setelah pelbagai insiden serang menyerang antara pimpinan tertinggi yang berlaku sebelum ini. Malah jemputan ke Muktamar dan rundingan tanpa melibatkan Presiden UMNO juga menjadi isu,” katanya.

Walaubagaimanapun Khairuddin menyifatkan hubungan antara pemimpin dua parti itu masih boleh diperbaiki biarpun dilihat sudah terlewat.

“Meskipun begitu, eloklah terlewat daripada tiada langsung. Masih boleh diusahakan perundingan dengan cara politik matang dan harmoni. Usah mengalah kerana ia adalah hasrat ahli bawahan.

“Jaga tutur kata, elakkan prasangka dan bina jambatan kasih antara dua parti. Masih ada masa. Kepada yang cintakan muafakat ini, marilah kita kongsikan gambar serta logo nostalgia MN. Usah malu berkempen untuk muafakat umat, “katanya.

Pada 14 September 2019 lalu, UMNO dan Pas telah memeterai piagam MN pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). -KOSMO! ONLINE

POPULAR