fbpx

MOM harap PSM, Mastaf mampu cari titik persamaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD NORZA

TITIK kesepakatan antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (Mastaf) mungkin akan diketahui minggu ini menerusi satu mesyuarat terakhir yang dilakukan Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Perkara tersebut dimaklumkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mahu segala masalah dapat diselesaikan demi kemajuan sukan sepak takraw di negara ini.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap dua pemimpin badan induk sukan sepak takraw tersebut dapat mencari jalan keluar daripada isu tersebut yang dilihat terus berlanjutan dalam tempoh agak lama.

“Dalam mesyuarat tadi, PJS yang diwakili Timbalan Pesuruhjaya Sukan, Ariffin Mohd. Ghani dan beliau telah memaklumkan bahawa satu jalan terakhir akan dibuat dengan memanggil mesyuarat kedua-dua persatuan tersebut minggu ini.

“Ketika ini, MOM telah menerima ketetapan tersebut bahawa mereka akan mencari jalan bagaimana ingin menyelesaikan kemelut persatuan sepak takraw ini.

“Mengenai gabungan membabitkan dua persatuan tersebut, saya melihat apa sahaja terutama mengenai pembangunan sukan sepak takraw ini.  Kita tak mahu mereka-mereka di atas ini meletakkan kepentingan mereka melebihi kepentingan sukan tersebut. 

“Sukan ini mempunyai masa depan yang cerah, malah pembangunan sukan berlaku dengan giat di negara kita.  Kita harap pemimpin di kedua-dua pihak dapat menunjukkan satu contoh prinsip kepemimpinan melalui teladan.

“Kalau di pihak MOM, saya semalam lagi nak isu ini berakhir. Kita tak mahu isu ini terus berlanjutan. Jadi, mereka harus memimpin untuk keluar dari isu ini,” kata dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM Kali Ke-7 (2021-2025) semalam.

Ketika ini, MOM mengesahkan bahawa PSM masih kekal sebagai ahli gabungan MOM , walaupun persatuan itu tidak mendapat pengiktirafan daripada badan induk sepak takraw antarabangsa.

Untuk rekod, Mastaf kini adalah badan induk sepak takraw negara yang sah selepas diiktiraf sebagai ahli baharu Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) Mac lepas, sebelum turut diterima menjadi ahli gabungan Istaf pada April ekoran Astaf menggugurkan keahlian PSM pada Mei 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI