fbpx

Mahkamah: Artikel fitnah, bekas Ketua Pengarang The Edge didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Azam ketika hadir di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

PETALING JAYA – Seorang bekas Ketua Pengarang The Edge Communication Sdn. Bhd. didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyiarkan dua artikel memfitnah individu dan empat buah syarikat dalam dua laporan khas.

Bagaimanapun tertuduh Ahmad Azam Mohd. Aris, 61, yang kini merupakan editor sambilan di portal The Edge mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Nurshahira Abdul Salim.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, Ahmad Azam bersama-sama dengan seorang editor yang masih bebas didakwa telah memfitnah seorang individu berusia 38 tahun dan empat buah syarikat melalui cara penyiaran artikel dalam The Edge Malaysia edisi mingguan bertarikh 21 September hingga 27 September 2020 dan 12 April hingga 18 April 2021.

Ia dimana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa tuduhan (artikel) akan merosakkan reputasi individu itu dan syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di The Edge Communication Sdn. Bhd. Menara KLK Mutiara Damansara di sini pada 21 September 2020 dan 12 April 2021 yang didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh adalah pengarang di The Edge ketika artikel itu diterbitkan. Namun, telah bersara pada November tahun lalu, dan kembali sebagai editor sambilan dengan portal sama.

Terdahulu dua Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md. Kamal dan Farhanah Fuad Mohamad Faiz menawarkan jumlah jaminan masing-masing sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin

Bagaimanapun peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Ahmad Azam memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh hadir sendiri ke mahkamah selain memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.

“Tertuduh mempunyai tiga anak yang masih belajar turut menghidap darah tinggi dan kencing manis, pohon satu jumlah jaminan rendah diberikan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,500 dan RM500. Ini bermakna tertuduh perlu membayar ikat jamin secara keseluruhan sebanyak RM3,000.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 November depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI