fbpx
TINDAKAN ganas yang mendorong kepada perbuatan membunuh. – GAMBAR HIASAN

Ragut nyawa kekasih sendiri angkara kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiada siapa menyangka di sebalik perwatakan baik dan romantis seorang kekasih, masih ada sebenarnya yang sanggup bertindak di luar batasan sehingga tergamak membunuh insan tersayang.

Tindakan ganas dan kejam itu dilakukan hanya disebabkan seseorang itu tidak mampu mengawal perasaan, sehingga mencetuskan gangguan mental yang akhirnya mengakibatkan tindakan di luar batasan.

Kejadian itu tidak hanya boleh berlaku bagi pasangan suami isteri, namun turut melibatkan mereka yang masih di alam percintaan.

Menurut pakar psikologi Universiti SEGi, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor, tindakan tidak rasional itu berpunca daripada perasaan amarah yang tinggi selain rasa dikhianati.

“Apabila wujud perasaan sa­yang dalam diri, rasa kepunyaan atau memiliki itu sangat kuat dan saling mengenali keburukan serta kebaikan masing-masing.

“Perasaan ‘memiliki’ yang kuat itu juga menyebabkan seseorang individu tidak dapat menerima hakikat dirinya akan ditinggalkan orang tersayang.

“Justeru, apabila terjadi insiden yang mana orang disayangi berubah fikiran dan mempunyai arah tuju berbeza, ia akan mewujudkan perasaan amarah yang diibaratkan seperti bom jangka,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Ada pasangan yang sanggup bertindak di luar batasan termasuk membunuh hanya kerana putus cinta. – GAMBAR HIASAN

Jelasnya, perasaan marah yang terlalu besar membuatkan seseorang individu bertindak tidak rasional dan sanggup melakukan perkara di luar kewarasan akal.

“Ada kes-kes tertentu, si pelaku mungkin menyedari apa yang dilakukan itu salah dan mempunyai kesan buruk seperti dihukum penjara.

“Namun, fikiran yang tidak rasional bercampur dengan pe­rasaan marah menyebabkan dia gagal mengawal emosi sehingga sanggup membunuh,” ujarnya.

Tambah Mariani, ledakan emosi serta perbuatan tidak rasional boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dalam masyarakat.

Susulan itu, beliau menasihati masyarakat supaya mempraktikkan kaedah mengawal perasaan marah secara sihat supaya tidak berlaku ledakan emosi sehingga berlaku tindakan di luar kawalan.

Sementara itu, pakar kriminologi Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, perasaan cemburu yang melampau juga boleh menyebabkan seseorang individu bertindak di luar kawalan terhadap pasangannya.

Katanya, dalam masa sama, penggunaan bahan terlarang seperti dadah atau di bawah pengaruh alkohol turut mendorong seseorang melakukan perbuatan ganas dan berbahaya.

“Mereka sayang, tetapi sayang melampau dan cemburu membabi buta yang mengakibatkan rangsangan untuk melakukan sesuatu hingga membawa kepada kematian.

“Ada juga yang terlalu cemburu sehinggakan dia memukul untuk menyebabkan kecederaan, namun akibatnya kematian pula berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya mereka yang berada di bawah pengaruh dadah adalah lebih kejam berbanding individu normal.

“Misalnya kes pembunuhan yang mengakibatkan mangsa di­sembelih, memang betul-betul dia sembelih, jadi lebih kejam berbanding mereka yang normal,” katanya.

Ujarnya lagi, antara faktor-faktor lain termasuklah tekanan di tempat kerja serta pengaruh persekitaran.

“Persekitaran sudah banyak berubah termasuk cara pemakanan yang membawa kepada tindakan luar kawalan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN