SETELAH memerintah selama 70 tahun, Ratu Elizabeth II yang juga merupakan raja paling lama berkhidmat dalam sejarah Britain mangkat Khamis lalu.
Baginda menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland pada sebelah petang.
“Kami sangat berduka atas pemergian seorang raja yang dihormati dan seorang ibu yang sangat disayangi.
“Saya tahu kehilangannya akan sangat dirasai di seluruh negara, negara-negara Komanwel dan orang ramai di seluruh dunia,” kata anak baginda, Raja Charles III.
Sebelum baginda mangkat, orang-orang kanan diraja telah berkumpul di Balmoral setelah doktor peribadi bimbang dengan tahap kesihatannya.
Kesemua anak baginda juga pergi ke Balmoral, selepas doktor meletakkan baginda di bawah pengawasan perubatan.
Setelah berita tentang kemangkatan baginda tersebar, beribu-ribu orang menunggu di Istana Buckingham di London sambil menangis sambil menunggu maklumat terkini.

Keadaan menjadi senyap apabila bendera kesatuan di istana diturunkan separuh tiang dan notis mengumumkan kemangkatan baginda kemudian dilekatkan di pagar istana.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Mary Elizabeth Truss yang baru dilantik oleh baginda Selasa lalu berkata, negara berdukacita dan menyifatkan baginda merupakan individu yang membina Britain moden.
“Baginda membekalkan kami dengan kestabilan dan kekuatan diperlukan.
“Kami menawarkan kesetiaan dan pengabdian kepadanya, sama sepertinya yang berbakti begitu banyak kepada banyak orang untuk sekian lama,” jelasnya.
Kemangkatan baginda bukan hanya mengejutkan rakyat Britain, malah pemergiannya turut mendapat ucapan takziah mencurah-curah daripada para pemimpin dari seluruh dunia.
“Warisannya akan terus kekal dalam lembaran sejarah Britain dan menjadi sebahagian kisah dunia kita,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dalam satu kenyataan.
Malah Biden juga mengarahkan bendera di Rumah Putih dikibarkan separuh tiang.

Sementara itu, di Paris, Datuk Bandarnya mengumumkan lampu Menara Eiffel akan dimatikan sebagai menghormati kemangkatan baginda.
Malah Presiden Rusia, Vladimir Putin, turut mengucapkan takziah walaupun hubungan antara Britain dan Rusia dingin berikutan perang Ukraine.
Beliau menyatakan kemangkatan baginda sebagai ‘kehilangan tiada ganti’.
Dalam pada itu, baginda dilahirkan dengan nama Elizabeth Alexander Mary Windsor, di Mayfair, London pada 21 April 1926.
Tidak ramai yang meramalkan baginda akan menaiki takhta, tetapi pada Disember 1936, bapa saudaranya, Edward VII turun takhta setelah berkahwin dengan warga Amerika Syarikat.
Kemudian bapa baginda yang kemudian menjadi Raja George VI.
Pada usia 10 tahun, baginda yang dikenali sebagai Lilibert dalam keluarganya diangkat menjadi pewaris takhta.

Setelah meningkat dewasa, baginda bertukar surat dengan sepupu ketiganya iaitu Philip yang juga Putera Greece yang ketika itu berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja.
Mereka kemudian bercinta dan menjadi pasangan apabila berkahwin di Westminster Abbey pada 20 November 1947.
Namun setelah melalui usia 74 tahun perkahwinan, Ratu Elizabeth II harus menerima hakikat bahawa suaminya, Putera Philip yang juga Duke of Edinburgh mangkat pada April tahun lalu.
Dalam perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata dan anak lelaki pertama adalah Putera Charles yang dilahirkan pada 1948, diikuti Puteri Anne (1950), Putera Andrew (1960) dan Putera Edward (1964).
Selain itu, baginda juga memiliki lapan cucu dan 12 cicit.
Dalam pada itu, pada tahun 1952, Ratu Elizabeth II ketika itu berada di Kenya kerana mewakili ayahnya yang sedang gering.

Ketika di sana baginda mendapat berita tentang kemangkatan ayahandanya dan segera kembali ke London.
Ratu Elizabeth II menaiki takhta selepas kematian ayahanda baginda, Raja George VI pada 6 Februari 1952.
“Saya dengan ikhlas telah berjanji untuk berkhidmat kepada anda, kerana begitu banyak daripada anda telah berjanji untuk saya.
“Sepanjang hidup saya dan dengan penuh hati, akan berusaha untuk layak mendapat kepercayaan anda,” titah baginda dalam ucapan kepada rakyatnya pada hari pertabalan.
Ratu Elizabeth II menjadi raja pada masa ketika Britain masih mengekalkan banyak empayar lamanya.

Ia muncul setelah kemusnahan Perang Dunia Kedua, dengan ketika itu catuan makanan masih berkuatkuasa dan keistimewaan masih dominan dalam masyarakat.
Namun begitu, setelah menaiki takhta, Ratu Elizabeth II melakukan transformasi terhadap sistem monarki.
Baginda mendekatkan diri dengan orang awam melalui lawatan diraja dan kehadiran di acara awam.
Komitmennya terhadap Komanwel juga berterusan.
Malah baginda akan melawat setiap negara Komanwel sekurang-kurangnya sekali.
Sementara itu, Ratu Elizabeth II ialah raja ke-40 dalam keturunan diraja yang mengikut Norman King William the Conqueror, yang menuntut takhta Inggeris pada 1066 selepas mengalahkan pemerintahan Anglo-Saxon Harold II di Pertempuran Hastings.

RAJA CHARLES III bersama bondanya, Ratu Elizabeth II pada 2 Jun 2022.
Pemerintahannya yang lama juga telah memecahkan rekod sebagai raja yang paling lama bertakhta. Baginda mengatasi nenek moyangnya iaitu Ratu Victoria yang bertahta selama lebih daripada 63 tahun.
Selepas kemangkatannya, anak badinda, Charles kini dilantik menjadi Raja dengan gelaran Raja Charles III.
















