fbpx

402 peneroka bauksit tagih janji kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, WAKIL BIRO PAHANG

KAMI tidak tahu hendak buat apa, tiada siapa peduli nasib kami yang sudah enam tahun tiada pendapatan,” itu luahan Mohamad Azlan Mustafa,39, gene­rasi kedua Felda Bukit Goh di Kuantan.

Dia antara kira-kira 402 pe­neroka felda berkenaan yang bagaikan digantung tidak bertali apabila bukan sahaja tidak dapat meneruskan aktiviti bauksit malah terkeluar dalam penanaman semula sawit.

Biarpun hanya 194 peneroka terlibat aktiviti perlombongan bauksit, namun tekanannya turut dirasai 208 lagi peneroka yang terkeluar daripada program penanaman semula berikutan ladang mereka berhampiran kawasan perlombongan.

Lebih membebankan 208 pene­roka berkenaan apabila sawit yang sudah berusia kira-kira 25 tahun tidak dapat mengeluarkan hasil yang baik.

Akibatnya, mereka kehila­ngan pendapatan menyebabkan ada yang terpaksa keluar mencari kerja di tempat lain, malah ada yang sudah berhijrah bagi meneruskan kehidupan masing-masing dan ladang-ladang dibiarkan dipenuhi semak samun.

Lebih menekan kehidupan peneroka berkenaan apabila kos yang tinggi diperlukan untuk menanam semula kelapa sawit yang rata-ratanya memerlukan kira-kira RM72,000 bagi kawasan tidak terlibat bauksit dan mencecah RM200,000 bagi kawasan terlibat aktiviti bauksit seluas kira-kira 4.04 hektar. Jumlah ini adalah mustahil untuk disediakan.

Berdasarkan jumlah tanah seluas 1,627 hektar yang terlibat dalam perlombongan bauksit dan terkeluar daripada program penanaman semula itu menyaksikan kos penanaman semula mencecah RM54 juta.

Sekali pun dibuat penanaman semula, belum tentu usaha itu menjanjikan pulangan memandangkan tanah tidak subur dan boleh merencatkan pertumbuhan pokok seterusnya menjejaskan hasil.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan 2 Generasi Kuantan (G2G), Jefri Salim berkata, peneroka khususnya generasi kedua di Felda berkenaan sudah cukup terbeban dan mengharapkan satu solusi dapat dilakukan bagi membantu mereka.

Beliau berkata, sekiranya penanaman semula tidak sesuai lagi langkah alternatif seperti pembangunan lembah solar yang boleh memberikan pendapatan kepada peneroka perlu dilakukan.

Katanya Felda setakat ini memberikan respon positif membantu peneroka menggerakkan apa sahaja usaha bagi mengembalikan pendapatan mereka, namun apa sahaja keputusan perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri yang mempunyai kuasa dalam bidang tanah.

Difahamkan sehingga kini tiada apa-apa keputusan tuntas diberikan dalam isu melibatkan golongan ini membuatkan pe­neroka masih tertunggu-tunggu apakah nasib mereka.

Adakah kawasan yang ada itu akan terus menjadi ladang terbiar dan mereka terus tidak lagi boleh mengharapkan ladang seluas 4.04 hektar itu untuk me­nyara kehidupan, sebaiknya membiarkan tanah dalam rancangan Felda itu ditumbuhi semak samun dan terbiar.

Mereka sudah hampir berputus asa, jadi pihak yang berkuasa ambillah tindakan segera, jangan sampai rakyat berasa mereka tidak dipedulikan lagi, jangan sampai mereka pun berasa tidak mahu ambil peduli lagi terhadap pihak yang masih berkuasa.

Janganlah nanti masa musim pilihan raya barulah datang menabur janji dan menagih simpati.

Rakyat, generasi baharu sudah pandai menilai, bantulah, pedulikan mereka ketika mereka masih memberikan kuasa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI