KOTA TINGGI – Seorang wanita di Felda Simpang Waha di sini nekad bangkit semula untuk menghidupkan semula perniagaan sambal yang diusahakan bersama arwah adiknya selepas mendapat permintaan ramai.
Azizah Abu Bakar, 52, berkata, perniagaannya terhenti selama tiga tahun apabila adiknya disahkan menghidap kanser payudara sebelum meninggal dunia pada 2019.
Katanya, dia menghasilkan sambal ikan bakar itu setiap kali Ramadan sejak sembilan tahun lalu.
“Saya pernah berdepan dengan insiden minyak meletup ketika menghasilkan sambal tetapi ia dianggap sebagai cabaran.
“Sambal ini bukan untuk ikan bakar sahaja tetapi boleh dibuat shell out, sambal ayam dan lain-lain hingga kami terpaksa tukar jenama kepada Sambal Meletoops,” katanya ketika ditemui.
Menurut Azizah, sambalnya mendapat sambutan kerana hanya perlu dipanaskan selain tahan selama setengah tahun jika disimpan di tempat sejuk beku.
Tambahnya, Sambal Meletoops semakin dikenali dan dipasarkan secara meluas di sekitar Felda Simpang Waha, Negeri Sembilan dan Selangor.
“Syukur hasil jualan dapat bantu tambah pendapatan sehingga RM1,500. Saya sambung semula perniagaan ini kerana banyak kenangan bersama arwah adik dan sayang jika tidak diteruskan,” katanya.














