fbpx

Pulau Russia perkara mustahil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTIN berucap pada Forum Ekonomi Timur di Vladivostok kelmarin. - AFP

MOSCOW – Presiden Vladimir Putin menegaskan bahawa adalah ‘mustahil’ untuk Barat memulaukan Moscow dan berikrar akan menghentikan penghantaran kepada mana-mana negara yang mengenakan harga siling ke atas bekalan gas serta minyak Moscow.

Bercakap pada Forum Ekonomi Timur Jauh llebih enam bulan selepas Russia menyerang Ukraine, Putin cuba mencari sekutu baharu di rantau Asia, Asia Barat dan Afrika ketika Moscow  berdepan sekatan Barat.

“Tidak kira betapa seseorang mahu memulaukan Russia, ia sama sekali mustahil untuk berbuat demikian,” kata Putin pada forum tersebut di bandar pelabuhan Vladivostok.

Beliau berkata,  pandemik Covid-19 telah digantikan dengan cabaran global lain yang ‘mengancam seluruh dunia’  terutamanya  ‘demam sekatan di Barat’.

Putin berulang kali berkata bahawa ekonomi Rusia dapat mengharungi sekatan dengan baik walaupun hubungan Kremlin dan  Barat tenggelam ke paras terendah yang baharu.

Kelmarin pemimpin Russia itu berikrar akan ‘mencantas’ mana-mana negara yang mengenakan harga siling ke atas eksport minyak dan gas Russia ketika Kesatuan Eropah (EU)  bercadang berbuat demikian.

“Mengenakan harga siling adalah keputusan yang benar-benar bodoh. Kami langsung tidak akan membekalkan apa-apa sekiranya ia bertentangan dengan kepentingan kami, dalam hal ini (kepentingan) ekonomi. Tiada gas, tiada minyak, tiada arang batu tiada bahan api, tiada semuanya,” tegas  Putin.

Eropah yang banyak bergantung kepada bekalan  Russia, menuduh Moscow menggunakan tenaga sebagai senjata, manakala kelmarin, ketua EU, Ursula von der Leyen mahu negara-negara anggota EU melaksanakan mekanisme harga siling sebagai usaha memutuskan  dana perang Moscow  di Ukraine.

“Mereka yang cuba melaksanakan sesuatu (harga siling) terhadap kami tidak berhak untuk meminta kami mengikut telunjuk  mereka. Mereka wajar sedar akan kenyataan ini,” kata Putin

Von der Leyen berkata demikian  beberapa hari selepas Russia menutup saluran gas utama Nord Stream ke Eropah dengan alasan kerja baik pulih untuk tempoh masa yang tidak dapat ditentukan.

Penyertaan Putin dalam forum Timur Jauh pula berlaku sehari selepas  beliau menyelia latihan tentera berskala besar di sana. Dinamakan Manuver Vostok-2022, latihan tentera itu berlangsung selama seminggu.

Ketika Moscow berusaha untuk memperkukuh hubungan dengan Asia, Putin mengalu-alukan peranan rantau Asia-Pasifik yang semakin meningkat dalam hal ehwal global.

“Peranan negara-negara rantau Asia Pasifik telah meningkat dengan ketara,” katanya pada forum itu, sambil menambah, perkongsian tersebut akan mewujudkan ‘peluang baharu yang besar untuk rakyat kita.’

Putin dijangka mengadakan pertemuan secara peribadi dengan rakan sejawatannya  dari China, Xi Jinping pada minggu depan. Jinping tidak meninggalkan China sejak 2020 akibat wabak koronavirus.

Kedua-dua pemimpin itu akan bertemu pada sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai  yang diadakan di Uzbekistan pada 15 dan 16 September ini, kata seorang diplomat Rusia kelmarin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI